Bulan Ramadan sentiasa menjanjikan pendapatan tambahan kepada penyadap ‘tuak’ kelapa di Kelantan kerana ia mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat minuman itu.
Namun usah salah faham. Minuman yang dijual itu bukanlah daripada jenis memabukkan namun ia amat sinonim dengan panggilan “tuak” di negeri ini.
Minuman tuak atau nira yang rasanya manis dan berbau harum serta dipercayai mampu menyejukkan badan itu begitu popular di Kelantan terutama sepanjang Ramadan.
Penyadap tuak Izani Mokhtar, 48, berkata dia mampu memperoleh sebanyak RM40 dan RM50 sehari hasil jualan minuman itu ketika Ramadan.
“Sepanjang Ramadan saya tidak perlu menjaja ke merata kampung kerana penggemar air tuak datang ke rumah pagi dan petang untuk mendapatkan air tuak segar,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Gong Ketereh di sini, hari ini.
Izani berkata dia hanya mengambil masa tiga jam pada setiap pagi dan petang untuk menyadap 10 pokok kelapa di sekeliling rumahnya bagi mendapatkan minuman tersebut.
Beliau berkata air tuak diperolehi daripada mayang kelapa dengan memotong hujungnya yang telah diikat dengan tali untuk dibengkokkan selama beberapa minggu.
Katanya, walaupun letih kerana berpuasa, namun tetap memanjat pokok kelapa setinggi antara 10 dan 15 meter semata-mata untuk memenuhi permintaan tinggi penggemarnya terutama pada Ramadan ini.
“Berikutan itu, saya cuti selama sebulan sebagai tukang rumah bagi melakukan pekerjaan menyadap kelapa ini untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.
Sementara itu, seorang anggota tentera Ahmad Faizal Fauzi, 36, yang berasal dari Kampung Gong Kulim di sini, berkata beliau menggemari minuman itu kerana dapat menyegarkan badan terutama ketika berbuka puasa.
“Tambahan pula jika dapat minum air tuak asli yang tidak dicampur dengan air gula. Ia sungguh memuaskan,” katanya ketika ditemui sedang membeli air tuak di rumah Izani. — Bernama
Sumber: Projek MMO