Seorang remaja dijatuhi hukuman penjara selama setahun yang berjalan secara serentak oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap 14 pertuduhan menghina Institusi DiRaja Johor.
Muhammad Amirul Azwan Mohd Shakri, 19, membuat pengakuan bersalah di atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim, Sabariah Atan.
Mengikut kesemua pertuduhan, Muhammad Amirul Azwan yang berasal dari Tumpat Kelantan itu didakwa mengeluarkan komen berbentuk jelik dalam laman sosial Facebook atas nama ‘Miyo Castello’ antara Mac hingga April lepas dengan niat untuk menyakitkan hati Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tertuduh yang merupakan seorang buruh itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Muhammad Amirul Azwan dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman ke atasnya memandangkan berasal daripada keluarga miskin dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan serupa.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana menyifatkan ia satu kesalahan serius berbentuk penghinaan terhadap Tunku Mahkota Johor yang bakal menjadi Sultan Johor.
Sabariah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama setahun yang berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan 28 April lalu.
Sumber: Sinar Harian