Seolah-olah sudah menjadi trend, apabila tiba bulan Ramadan terdapat segelintir masyarakat yang sanggup berbelanja mahal untuk menikmati hidangan bufet buka puasa di hotel-hotel besar dan ternama.
Walaupun harga hidangannya jauh lebih mahal daripada juadah di bazar-bazar Ramadan yang menjadi pilihan kebanyakan umat Islam di Malaysia, namun pakej Ramadan yang ditawarkan oleh hotel-hotel ‘berbintang’ itu tetap laris dan mendapat sambutan hangat orang ramai.
Tinjauan Bernama mengenai harga dan sambutan bufet Ramadan di hotel-hotel di sekitar Kuala Lumpur, terdapat ramai pelanggan yang memilih untuk berbuka puasa di hotel dengan kadar bayaran serendah RM50 dan semahal RM199 seorang.
Alasan pelanggan sanggup berbelanja mahal ialah terdapat pelbagai jenis sajian makanan termasuk pencuci mulut yang ditawarkan di hotel-hotel dan restoran.
Malahan, tinjauan turut mendapati ramai yang tidak kisah dengan harga hidangan bufet Ramadan yang mahal walaupun ada pihak lain yang menganggapnya sebagai boros dan membazir.
Seorang pekerja swasta Mohd Razif Syukor, 36, ketika ditemui Bernama berkata keinginan untuk mencuba juadah berbuka puasa di hotel membawa dirinya dan rakan berkunjung ke sebuah hotel di sini yang menyajikan masakan tradisional dengan lebih 100 sajian.
“Saya cuma mahu mencuba, bukan selalu berbuka di hotel, ini perancangan sebelum Ramadan. Isu bazir atau tidak itu terpulang pada individu, lagi pun saya dan rakan-rakan memang jenis suka makan,” katanya yang berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak hotel untuk pengunjung yang berbuka di situ seperti surau.
Jamilah Adnan, 40, berkata kesibukan bekerja membuatkan beliau lebih gemar untuk berbuka puasa di hotel atau restoran bagi menikmati kemudahan hidangan bufet.
“Bufet lebih mudah, boleh juga dapat dengan kadar bayaran bawah RM50 di hotel atau restoran. Kalau nak balik dan singgah beli makanan di bazar memang tidak sempat, jalan sesak,” katanya.
Namun, ada juga yang merasakan berbuka puasa dengan bufet Ramadan di hotel ataupun restoran adalah tidak berbaloi malahan membazir.
Seorang pelajar kolej swasta Abdul Qawiy Abdul Yusof, 22, berkata bayaran RM50 bagi bufet Ramadan adalah mahal dan sepatutnya wang tersebut boleh dibelanjakan untuk perkara lain.
“Harga makanan sudah sama seperti gaji sehari, kalau bawa RM50 ke pasar boleh beli stok makanan mentah untuk dua, tiga hari,” katanya lagi.
Menurutnya, perkhidmatan bufet Ramadan membawa ke arah lebihan sisa makanan yang banyak.
“Kalau 20 sajian yang dihidangkan pun belum tentu kita mampu makan, kalau pun mahu cuba semua dengan ambil dan letak dalam pinggan akhirnya mesti masuk tong sampah juga,” katanya dan menambah tindakan mengikut nafsu makan itu hanya membawa kepada pembaziran makanan.
Dalam pada itu Suziyanti Aiman, 25, berkata masih ramai yang tidak sedar bahawa berbuka puasa dengan bufet Ramadan itu menjurus ke arah pembaziran.
“Banyak ajakan dan jemputan untuk bufet ini tapi saya tolak sebab perut tidak boleh makan banyak,” katanya yang berpesan kalau rasa akan membazir, ingatlah orang yang kebuluran di Somalia.
Katanya juga, amalan berbuka puasa di hotel adalah tidak wajar kerana kadar bayaran yang tinggi selain membazir makanan.
“Bayar beratus, makan hanya untuk kapasiti RM10? Bazir duit, bazir makanan,” katanya lagi.
Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata Islam menggalakkan agar umat berbuka puasa dengan hidangan sederhana dan yang paling baik adalah memasak sendiri makanan.
“Berbuka puasa di rumah boleh menghindarkan pembaziran wang dan mengelakkan lebihan makanan dibuang.
“Wang yang mungkin hendak dibelanjakan juga boleh didermakan atau sedekah ke jalan yang diredai,” katanya yang turut tidak menggalakkan amalan berbuka puasa di hotel.
Di samping itu, katanya pihak yang menganjurkan majlis berbuka puasa dengan menjual meja juga merupakan pembaziran dan tidak selari dengan hikmah ibadah puasa yang hendak menyedarkan masyarakat tentang kesusahan dan kelaparan mereka yang daif serta tidak berkemampuan.
Dalam pada itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengulangi saranan tahun lalu agar pengusaha hotel atau restoran yang menawarkan hidangan bufet berbuka puasa mengenakan denda ke atas pelanggan yang membazir sepanjang Ramadan ini.
Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata tindakan itu perlu kerana pembaziran lebihan makanan yang dilakukan setiap tahun menjejaskan kemanisan ibadah puasa.
Beliau berkata, pengusaha juga boleh menyediakan alternatif lain seperti membungkusnya agar pelanggan boleh membawa pulang makanan yang tidak habis dimakan atau pihak hotel mengedarkan makanan (makanan yang tidak disentuh) kepada yang memerlukan seperti pelajar dan golongan gelandangan.
Tahun lalu, syarikat menyelia sisa pepejal SWCorp berkata untuk tempoh Ramadan setiap tahun, rakyat di negara ini membuang 270,000 tan makanan yang tidak diusik dan boleh dimakan semula.
Menurut syarikat itu, berdasarkan perkiraan juga, jumlah makanan tersebut boleh dihidangkan kepada 180 juta orang iaitu enam kali ganda melebihi populasi negara ini seramai 27 juta.— Bernama
Sumber: Projek MMO