Search diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan permohonan maaf dan membayar ganti rugi RM1.5 juta selepas konsert ulang tahun 35 tahun mereka dibatalkan.
Ketua pegawai eksekutif AFJets Sdn Bhd berkata kumpulan rock legenda itu juga melanggar memorandum persefahaman (MOU) selepas membatalkan konsert itu “secara tidak sah.”
“Kami menafikan segala tuduhan dibuat Search pada sidang media ketika mereka mengumumkan penamatan kerjasama dengan kami, baru-baru ini.
“Kami juga sudah menuntut Search memohon maaf secara terbuka dan menarik semua tuduhan dibuat mereka terhadap AFJets menerusi notis yang dihantar wakil peguam kami.
“Jika mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan, notis saman akan menyusul,” kata Amrul Nizar Anuar seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
Nasir Daud, pemain bes Search berkata AFJets sengaja menjadikan isu MOU dan pertikaian pemain dram Yazit Ahmad sebagai alasan untuk tidak menganjurkan konsert itu.
Dalam sidang media pembatalan konsert itu dua minggu lalu, kata Nasir lagi, AFJets sudah bertemu sendiri dengan Yazit, maka isu sedia ada lebih mudah untuk dimanipulasi.
“Kami dapat rasa sudah tidak ada momentum. Mereka cuba mencari jalan keluar agaknya. Oleh sebab itu, isu MOU dan Yazit dijadikan satu jalan keluar untuk menamatkan benda ini,” katanya.
Amrul dalam sidang media semalam berkata dakwaan Search itu tidak benar dan apa yang dilemparkan mereka adalah fitnah.
Search pada mulanya merancang untuk mengadakan konsert ulang tahun ke-35 pada 9 April lalu namun ditunda ke 30 Ogos ini.
Bagaimanapun, konsert yang dirancang itu tetap tidak menjadi kenyataan selepas Yazit mendakwa tidak mendapat wang pendahuluan yang diagihkan kepada mereka berlima.
Sumber: Projek MMO