JOYAH selalu percaya, jadi artis ni, kita ada tanggungjawab, walaupun mereka bukan wakil rakyat. Kalau tidak mahu jaga nama baik diri sendiri, elok jaga nama baik ibu bapa, atau keturunan kita, supaya orang tidak mudah mengata yang tidak-tidak.
Joyah bercakap pasal pasangan sama cantik, sama padan, Sharnaaz Ahmad dan Nabila, kakak kepada Neelofa yang minggu ini sekali lagi terpalit dengan kisah tak manis.
Gambar berpeluk sakan, siap ada pose angkat-mengangkat, sangat romantis, disiarkan oleh mereka sendiri di laman sosial. Hmmm, memanglah comel, tetapi bukanlah lebih elok kalau dibuat simpanan, aib peribadi kenapa perlu dikongsi-kongsi?
Bukanlah menyampah mahupun dengki, tetapi macam tidak manis pula melihat gambar romantis-romantis begitu ditayang sana sini. Kita ni kan orang Melayu, ada adab dan budaya sendiri.
Jangan hendak diikut sangat budaya orang Barat tu, malu emak dan ayah sendiri. Joyah tahu Sharnaaz dan Nabila pasangan yang sesuai, malah memang secocok pun, boleh kahwin sebab memang saling menyintai.
Tetapi dalam keadaan sekarang kalian belum ada ikatan, jadi lebih elok simpan aib tu, jangan melebih-lebih sangat. Atau lebih baik, kahwin sajalah, lepas tu tayangkan gambar berpeluk sakan, tunggang terbalik pun, tidak ada sesiapa yang kisah.
Joyah tidak tahulah apa yang Sharnaaz mahu kata melalui penulisan Joyah ini, harap boleh fikir pasal orang tua dan keluarga kalian yang lain juga.
Joyah sebenarnya, kasihan juga kepada Neelofa yang sudah memilih imej sopan santun dan jadi artis contoh, tentu dia pun jadi tak keruan apabila kakak sendiri terkait dengan cerita sebegini, kan?
Tambahan pula ketika ini juga umur Sharnaaz bukanlah muda remaja, status Nabila pun sudah cukup dewasa. Sepatutnya ada cara lain untuk membuktikan yang Sharnaaz kini sedang dilamun cinta yang asyik, bercintalah sebagai orang dewasa.
Senang cerita, matanglah dalam bercinta. Apa yang perlu disorok tu, soroklah. Nanti perempuan juga dapat malu.
Sumber: Utusan Malaysia