Tidak adil untuk melabel semua Yahudi sebagai jahat, kata Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang turut menyatakan tidak peduli jika kenyataannya itu menyebabkan baginda tidak popular.
Menurut The Star Online, apa yang baginda peduli ialah mahu menjadi umat Islam dan manusia yang baik.
“Sudah terlalu lama kini kebanyakan umat Islam di Malaysia melihat semua Yahudi jahat. Ia seperti mempercayai semua Muslim baik sedangkan kita tahu ada yang bertindak melanggar ajaran Islam.
“Dengar apa Rabbi Michael Learner cakap mengenai umat Islam, Israel, Palestin, tentang keamanan, dan anda akan faham adalah salah untuk menghakimi sesiapa,” katanya dipetik daripada portal berbahasa Inggeris itu.
Raja Zarith bertitah baginda mempunyai rakan Yahudi yang baik terhadapnya, menunjukkan kebaikan dan belas kasihan ketika baginda bersedih.
“Saya juga berbesar hati kerana mempunyai rakan Palestin yang kekal berani dan masih penuh berharap satu hari nanti akan ada keamanan di tanah air mereka.
“Saya sudah melalui sesuatu yang tidak terbayang sebagai ibu dan ia mengubah saya. Saya kini tidak peduli jika apa yang saya percaya menjadikan saya tidak popular. Apa yang saya ingin capai ialah menjadi umat Islam dan manusia yang baik,” titahnya.
Menyedari posting Facebook itu mungkin tidak dibaca semua ahli masyarakat kerana baginda menggunakan bahasa Inggeris, Raja Zarith turut menyelar sistem pendidikan sekarang yang menyebabkan semakin sukar bagi sesetengah orang untuk membaca, menulis atau berkomunikasi dalam bahasa itu.
“Itu lagi satu yang mungkin akan buat saya tidak popular, bahawa saya percaya fasih berbahasa Inggeris baik untuk kita.
“Kenapa saya fikir bahasa Inggeris adalah bahasa yang penting?
“Kerana mampu membaca buku, rencana majalah, berita online dan laman web atau mendengar syarahan para sarjana, atau menonton dokumentari dalam bahasa Inggeris membuka kepada dunia pengetahuan,” titahnya.
Penghujung tahun lalu, anakandanya, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibrahim Ismail Ibni Sultan Ibrahim mangkat pada usia 25 tahun akibat barah.
Selepas melalui pengalaman yang mungkin paling menyakitkan bagi seorang ibu, Raja Zarith berkata baginda kini tidak lagi terkesan dengan komen kasar yang diberikan kepadanya.
“Selepas melalui momen yang amat dahsyat melihat anak saya menghembuskan nafas terakhir, tidak ada lagi yang lain lebih teruk atau menyakitkan,” titahnya.
Sumber: Free Malaysia Today