“Apa salah pakcik pun tak tahu sehingga dibalas seperti ini”

"Apa salah pakcik pun tak tahu sehingga dibalas seperti ini"

“Apa salah pakcik pun tak tahu sehingga dibalas seperti ini”

KUANTAN: Lebih kurang tiga hari lagi umat Islam di negara ini akan menyambut Aidilfitri, namun bagi 15 penghuni lelaki Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua Seri Permai di sini menanti ketibaan hari lebaran itu dengan perasaan suram. 
Sulong Mohamad, 86, dari Terengganu yang sudah setahun berteduh di rumah kebajikan berkenaan berasa sedih kerana terkenangkan tiada seorang pun daripada tiga anaknya datang melawatnya sejak Aidilfitri tahun lalu hingga kini. 
“Kalau hari raya pun sama saja bagi pak cik, tidak rasa gembira apa pun. Seingat pak cik sudah lama anak-anak tidak datang menjenguk pak cik. Apa salah pak cik pun tidak tahu sehingga anak-anak sanggup buat macam ini,” katanya dalam satu temu bual bersama media di rumah kebajikan itu baru-baru ini. 
Sulong yang cacat penglihatan akibat terkena paku itu melahirkan rasa kecewa dengan tindakan tiga anaknya itu dan mendakwa tergamak meninggalkan dirinya di rumah kebajikan berkenaan tanpa belas ihsan kepadanya sebagai bapa mereka. 
“Isteri pak cik sudah meninggal dunia. Pak cik datang ke sini (rumah kebajikan) sepupu yang tolong hantarkan. Pak cik waktu dahulu bekerja keras dengan berniaga untuk membesarkan dan menghantar mereka ke sekolah, tetapi ini balasan mereka terhadap pak cik,” katanya. 
Apabila ditanya sama ada beliau memaafkan tindakan anaknya itu, Sulong berkata: “Apa pak cik tahu, hati pak cik rasa sangat terkilan. Tidak tahu sama ada hendak maafkan atau tidak.” 
Sehubungan itu, Sulong sangat mengharapkan terdapat sinar baharu sempena Aidilfitri kali ini jikalau tiga anaknya itu sudi datang menjenguknya pada sambutan hari raya nanti di rumah kebajikan berkenaan. 
Sementara itu, Razak Kecik, 57, dari Rompin yang memasuki rumah kebajikan itu sejak awal tahun ini pula berkata, dia dihantar ke rumah kebajikan itu oleh anak saudaranya. Dia yang berjalan menggunakan tongkat akibat serangan strok itu berkata pernah diletakkan di dalam kandang lembu semasa tinggal bersama abang dan kakak iparnya di Ulu Yam, Selangor sebelum ini. 
Razak berkata, perasaannya tidak gembira untuk menyambut raya pada tahun ini mengenangkan tindakan adik-beradiknya yang lain sanggup membiarkannya tinggal di rumah kebajikan itu. 
“Dekat hendak raya nanti, anak saudara saya kata hendak datang ambil saya balik ke rumah beraya, tetapi ini tidak datang lagi. Saya pun sudah rasa tidak mahu balik, saya akan balik kalau adik-beradik saya yang lain bawa mak saya balik ke kampung juga beraya di Rompin,” katanya sambil menangis. 
Dalam pada itu, pengasas rumah kebajikan itu Zahari Mamat meminta anggota keluarga semua penghuni berkenaan terutamanya anak-anak supaya melawat bapa mereka pada hari raya nanti untuk menggembirakan orang tua yang masih hidup. 
“Pernah terjadi sebelum ini ada penghuni yang awal pagi raya lagi sudah siap pakai baju raya tunggu anak-anak datang melawatnya. Tunggu punya tunggu akhirnya anak-anak dia tidak datang, dan bertanyakan kepada saya mana anak-anak dia, tidak datang lagi sampai sekarang,” katanya yang menitiskan air mata. 
Zahari berkata, sebagai anak, mereka perlu menghargai kasih sayang seorang bapa dan mensyukuri nikmat Allah SWT berikan kepada mereka dengan cara mengambil kesempatan yang ada untuk menabur bakti kepada orang tua yang masih hidup. 
“Macam saya ibu bapa sudah tiada. Tetapi semasa ibu bapa saya masih hidup saya dapat menjaga mereka dengan sebaiknya dan sepenuh hati. Itu pun setelah mereka tiada, saya masih rasa macam tidak cukup apa yang saya berikan kepada arwah ibu bapa saya. Sebab itu, saya tubuh rumah kebajikan ini,” katanya. – BERNAMA


lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post