Tentera Indonesia (TNI) menyediakan anggotanya terhadap sebarang kemungkinan terlibat dalam operasi ketenteraan dalam usaha membebaskan 10 tebusan yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata Filipina meskipun perjanjian konkrit mengenai kaedah bagi menjalankan operasi itu masih belum diputuskan dengan negara jiran itu.
Komander TNI, Jeneral Gatot Nurmantyo berkata pasukan itu bersedia untuk membantu Filipina dan Malaysia dalam operasi membebaskan tebusan yang diculik militan Abu Sayyaf.
Gatot berkata meskipun insiden penculikan Sabtu lalu sekali lagi membabitkan tiga rakyat Indonesia, pegawai Filipina masih belum bersetuju untuk membenarkan tentera Indonesia memasuki wilayahnya dan menyertai operasi keselamatan.
“Filipina telah memberi lampu hijau kepada kita (untuk memasuki wilayahnya) tapi perjanjian konkrit akan diputuskan kemudian oleh Menteri Pertahanan,” kata Gatot pada Isnin.
Menteri Pertahanan, Ryamizard Ryacudu dijadualkan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya di Filipina dan Malaysia untuk membincangkan tindakan susulan perjanjian tiga hala kepada isu keselamatan maritim yang ditandatangani pada Mei lalu.
Mereka juga berbincang mengenai langkah susulan untuk membebaskan kesemua tahanan.
Jelas Gatot, isu berkaitan usaha pihak berkuasa Indonesia untuk memasuki Filipina bagi menyertai operasi bersama hanya akan diputuskan dalam mesyuarat itu.
Walaupun perbincangan mengenai operasi menyelamat sedang dijalankan, TNI turut menyediakan anggotanya untuk mengawasi setiap tongkang atau kapal tunda ke perairan serantau dengan sekurang-kurangnya empat atau lima anggota TNI ditempatkan di setiap kapal.
Gatot berkata anggotanya turut bersedia mengambil bahagian dalam rondaan laut bersama.
Sumber: Mstar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW