Difteria, penyakit berjangkit yang berbahaya boleh dicegah melalui suntikan vaksin lima serangkai

SUNTIKAN vaksin lima serangkai mampu melindungi serta menguatkan lagi sistem imunisasi badan kanak-kanak daripada penyakit difteria, pertusis, tetanus, polio, dan haemophilus influenza B.

Suntikan yang diberikan kepada bayi ketika berusia dua, tiga, lima bulan (keseluruhan dos) serta 18 bulan dan tujuh tahun (dos booster) ini, bukan sahaja dilihat berjaya mengekang penularan penyakit, malah melindungi penghidap daripada pelbagai komplikasi.

 

Difteria, penyakit berjangkit yang berbahaya boleh dicegah melalui suntikan vaksin lima serangkai

Difteria, penyakit berjangkit yang berbahaya boleh dicegah melalui suntikan vaksin lima serangkai

 

Namun tidak kurang juga ada golongan yang tidak percaya dan menentang pengambilan vaksin untuk anak-anak mereka.

Isu ini menjadi perdebatan semula baru-baru ini apabila tercetus jangkitan bakteria difteria yang menyebabkan kematian dua orang kanak-kanak berusia tujuh dan dua tahun di Melaka, baru-baru ini.

Daripada kedua-dua kes tersebut rumusan yang diperoleh ialah mereka tidak diberi suntikan vaksin lima serangkai, malah kenyataan ini disokong oleh Pakar Kanak-Kanak, Hospital Columbia Asia Setapak, Dr. Margaret Kannimmel.

Menurut Dr. Margaret, jangkitan difteria sehingga membawa maut hanya boleh diakibatkan daripada ketiadaan suntikan vaksin lima serangkai ataupun vaksin yang diperoleh tidak cukup kuat.

Malah kata beliau lagi, difteria merupakan satu penyakit yang telah lama tidak diperkata sehingga seolah satu perkataan baharu dalam kalangan masyarakat hari ini.

“Difteria merupakan sejenis penyakit jangkitan kuman oleh bakteria Corynebacterium diphtheria yang mengeluarkan toksin berbahaya kepada tubuh penghidapnya.

“Bakteria jahat ini boleh menyebabkan kegagalan fungsi jantung, saraf, buah pinggang dan sistem pernafasan yang boleh mengakibatkan maut.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati kerana difteria adalah penyakit berjangkit yang mudah merebak melalui rembesan dan titisan cecair hidung dan tekak, iaitu menerusi batuk dan bersin pesakit,” ujarnya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai penyakit tersebut, ulas Dr. Margaret, bakteria tersebut hanya akan ‘menyerang’ kanak-kanak berumur bawah lima tahun dan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

Ini kerana sistem imunisasi badan golongan tersebut rendah, bagaimanapun umumnya boleh terjadi kepada mereka yang tidak diberikan suntikan vaksin pencegahan difteria.

Pada awal jangkitan, bakteria ini akan menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) dan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan pada sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas.

Toksin ini juga didapati cepat merebak ke serata tubuh badan dan boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan boleh mengakibatkan keradangan jantung.

Bercakap pula mengenai rawatannya, Dr. Margaret menjelaskan bakteria ini dapat dikawal dengan antibiotik seperti penicillin atau erythromycin.

Tuturnya lagi, selain itu terdapat juga keperluan antitoksin yang mampu mengawal penularan toksin difteria di dalam darah.

Bagaimanapun jelas Dr. Margaret, ahli keluarga pesakit yang dijangkiti penyakit ini seharusnya dikuarantin untuk mengelak daripada ‘penyebaran’ bakteria tersebut kepada orang ramai.

“Disebabkan bakteria ini cepat merebak dan mengakibatkan kematian serta merta, walaupun ada ubat untuk mengubatinya, orang ramai tetap dinasihatkan agar mendapatkan suntikan vaksin difteria sekarang bagi mereka yang belum mendapatkannya.

“Pengambilan vaksin ini sebenarnya amat penting dan tidak rugi kerana bukan sahaja merupakan benteng kepada satu jenis penyakit tetapi pelbagai jenis penyakit yang berbahaya.

“Apa yang perlu diambil tahu oleh ibu bapa ialah beri perhatian kepada perubahan anak atau ibu bapa (warga emas) masing-masing kerana gejala awal seperti demam sederhana, sakit tekak, dan sakit ketika menelan atau bengkak leher boleh menjadi serius akhirnya mengundang maut,” katanya sebelum mengakhiri bicara. – Gambar AMIN FARIJ HASAN

Sumber : Utusan



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post