BAGI sesetengah lelaki, poligami itu tersangatlah indah dan menyenangkan hati, lebih-lebih lagi bila sang isteri pertama merelakan perkahwinan kedua dan seterusnya.
Bak kata lirik lagu Madu Tiga yang ditulis Ahmad Dhani, seperti dunia ‘ana’ yang punya!
Di sana kata sayang, di sini kata I Love You
Meskipun mudahnya berpoligami bagi lelaki-lelaki di luar sana, tahukah anda setiap kali Aidilfitri menjelang, bukan mudah si suami untuk berlaku adil kepada isteri-isterinya?
Penulis tidak menolak, ada lelaki di luar sana dengan jayanya bijak mengatur ‘strategi’, menyusun perjalanan dan jadual raya setiap tahun bagi mengelak hati isteri-isteri dan anak-anaknya terluka.
Namun juga, masih ada sang suami di luar sana yang terpaksa bergilir secara tahunan, malah terpaksa atau dipaksa beraya di kampung halaman salah seorang daripada isteri mereka.
Titik cerai kalau beraya kampung isteri pertama
Bukan mudah bagi Mohd Halim (bukan nama sebenar) membahagi giliran pulang beraya setiap kali Aidilfitri menyingkap tirai.
Tahun ini merupakan tahun keempat Halim tidak pulang beraya di kampung isteri pertamanya, malah dia juga tidak dibenar pulang untuk beraya di kampung halamannya sendiri.
Menurut Mohd Halim, 47, dia biasanya hanya akan pulang ke kampung halamannya atau kampung isteri pertamanya pada minggu kedua Syawal.
Itu pun menurutnya lagi, kepulangannya tidak lama kerana tuntutan kerja yang membebankan.
“Isteri pertama saya nikahi 23 tahun yang lepas dan kami tidak mempunyai anak. Saya berkahwin dengan isteri kedua pada enam tahun lepas dan kini mempunyai dua orang anak.
“Pada mulanya semuanya baik-baik saja. Isteri kedua tidak tunjuk perangai sehinggalah empat tahun sejak kebelakangan ini,” katanya kepada Sinar Online.
Menurut Mohd Halim, sikap isteri keduanya yang kuat merajuk dan mengamuk menyebabkan dia selalu tersepit antara keluarga sendiri dan keluarga isteri pertama.
Katanya lagi, setiap kali Aidilfitri dan Aidiladha, Mohd Halim akan ‘berperang’ besar dengan isteri-isterinya.
“Yang (isteri) pertama mahu saya beraya bersama dia dan saudara-maranya, isteri kedua pun mahukan yang sama.
“Isteri pertama biasanya akan mengalah. Isteri kedua pula akan mengamuk besar setiap kali saya mahu pulang beraya di kampung isteri pertama. Dia bukan hanya mengamuk malah tuntut cerai kalau saya tak ikut kemahuan dia,” luah Mohd Halim.
Ujar Mohd Halim lagi, dia tidak sanggup menceraikan isterinya kerana keduanya telah banyak berkorban untuknya.
“Siapa tak sayang isteri sendiri? Tak kan saya sanggup nak ceraikan isteri yang jaga makan dan minum saya selama ini,” katanya lagi.
Orang lain balik raya di kampung, saya balik raya rumah isteri-isteri
Lain pula kisahnya dengan nasib yang menimpa Abdul Razak (bukan nama sebenar).
Demi bersikap adil terhadap isteri-isterinya, Abdul Razak,55, memilih untuk tidak pulang ke kampung setiap kali Aidilfitri menjelang.
Sebaliknya katanya, dia terpaksa berulang alik ke Bentong-Kuala Lumpur-Klang pada awal pagi Syawal pertama untuk bertemu dan meraikan Aidilfitri bersama isteri-isteri dan anak-anaknya.
“Saya mempunyai tiga isteri dan 13 anak. Saya memang ada buka beberapa kedai makan di Bentong, Kuala Lumpur dan Klang, jadi sudah menjadi kebiasaan bagi saya untuk berulang-alik.
“Biasanya saya akan bertolak ke rumah mereka pada awal Subuh, mengikut giliran yang saya sendiri tetapkan. Tahun ini giliran raya pertama saya di Bentong, jadi saya akan bertolak ke sana seawal jam 5.30 pagi dari Kuala Lumpur untuk sampai ke rumah isteri kedua,” katanya kepada Sinar Online.
Abdul Razak biasanya akan menghabiskan masa tiga hingga empat jam pada giliran pertama sebelum beralih ke rumah isteri yang seterusnya.
Menurutnya lagi, sistem giliran itu mula dipraktikkan dia mengahwini isteri ketiganya pada tiga tahun lepas.
Bagi Abdul Razak, dia tidak mahu melepaskan peluang menyambut ketibaan Syawal bersama isteri-isteri dan anak-anak.
“Saya ada keluarga yang besar. Saya suami kepada tiga wanita dan bapa kepada anak-anak saya. Saya perlu berlaku adil kepada ketiga-tiga isteri.
“Memang setiap tahun pada Aidilfitri saya akan penat, tetapi itulah pengorbanan yang saya perlu lakukan untuk keluarga saya,” katanya lagi.
Setiap kali raya, isteri kedua makan hati
“Setiap kali raya (Aidilfitri) isteri kedua pasti akan menjeruk rasa dan makan hati kerana kami berkahwin secara rahsia,” demikian ujar Arif Azlan (bukan nama sebenar).
Arif, 31, mengakui mengahwini bekas kekasihnya di sempadan dan merahsiakan perkara tersebut daripada keluarganya sendiri dan isteri pertamanya.
Akibat daripada itu, setiap kali Aidilfitri menjelang, si isteri kedua terpaksa berputih mata merayakan pagi Syawal tanpa kehadirannya.
“Perkahwinan pertama saya diatur oleh keluarga, manakala perkahwinan kedua diatur oleh saya dan isteri kedua. Kami berdua berkahwin dua tahun selepas saya berkahwin dengan isteri pertama.
“Kami terpaksa rahsiakan hubungan kerana kedua orang tua saya tidak merestui hubungan kami sejak dahulu lagi. Kini, antara sedar atau tidak, sudah empat tahun isteri kedua merayakan Aidilfitri tanpa saya,” katanya kepada Sinar Online.
Meskipun terpaksa membiarkan isteri kedua menyambut Syawal tanpanya, Arif sentiasa bijak mencari penyelesaian.
Saban tahun, alasan tuntutan kerja yang memerlukannya untuk memulakan tugas pada raya kedua atau ketiga akan digunakan bagi ‘melepaskan’ diri daripada keluarga isteri pertama.
“Biasanya saya akan tinggalkan isteri di kampungnya sendiri dan hanya akan pulang untuk mengambilnya pada raya keempat atau kelima,” katanya lagi.
Sumber: Sinar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW