Pemilik Zawara Coffee tampil menjelaskan “trak pelancar roket” mereka yang dirampas polis dibeli secara sah daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui tender terbuka.
Guna ‘trak pelancar roket’ promosi kopi, Zawara Coffee dakwa beli dengan ATM
Ketua Pegawai Operasi Zawara Sdn Bhd berkata, kenderaan itu diperoleh mereka kira-kira lima bulan lalu dan sudah mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pertukaran hak milik dan menggunakannya secara sah.
Baca artikel sebelum: bawa pelancar roket jual kopi
Nur Fadilla Abd Karim berkata, trak itu kemudian dihantar ke bengkel kenderaan untuk ubah suai sebelum digunakan atas jalan raya sejak dua bulan lalu.
“Trak itu kami dah beli daripada tentera semasa tender terbuka. Ia memang kenderaan rasmi tentera tetapi sudah ditukar milik selepas hantar permohonan ke JPJ untuk digunakan secara sah.
“Tujuannya kami gunakan sebagai promosi dan dah guna dua bulan sebelum ditahan semalam,” kata ketika dihubungi ProjekMMO.
Nur Fadilla, 30, berkata kenderaan itu bukannya bercorak celoreng asal ATM .
Tetapi jika dilihat dari dekat ia adalah gambar gabungan makanan yang terdapat di restoran francais itu seperti burger, sosej, dan ‘churros’, serta jelas berlogokan cafe miliknya.
Sementara frasa “take a shot” yang boleh disangka sebagai merujuk kepada tembakan sebenarnya merujuk kepada minuman kopi baru “espresso premium” yang sedang dipromosikannya.
“Kami tidak sangka ia menjadi kekeliruan tetapi kami masih memohon maaf sebab berlaku kekecohan dan kegusaran orang ramai. Mungkin kami dah terlepas pandang terhadap persepsi isu yang lebih serius,” katanya.
Beliau juga menafikan kenderaan itu dijadikan sebagai “food truck” dan menjual makanan didalamnya. Sebaliknya ia hanya bagi tujuan pameran dan diletakkan di parkir hadapan restoran.
“Kami letakkan di depan kedai untuk tatapan pelanggan.
“Kenderaan itu dipindahkan ke setiap cawangan selang dua hari,” katanya yang menjelaskan dua pekerjanya ditahan ketika mereka dalam perjalanan memindahkan kenderaan itu ke cawangan lain.
Zawara Coffee memiliki beberapa cawangan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, antaranya di Wangsa Melawati, Setia Alam, Bandar Kinrara, selain Cyberjaya.
Polis semalam menahan trak dan dua pemandu di Jalan Semarak Api, Cyberjaya selepas mendapati bentuknya seakan kereta perisai tentera, lengkap dengan dua pelancar roket dan berceloreng, hasil aduan orang ramai.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata, kenderaan itu bukanlah kenderaan tentera sebenar dan pelancar roket itu juga palsu.
Trak itu dirampas namun dua lelaki itu dibebaskan semalam dengan ikat jamin. Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana mengubah suai kenderaan.
Sumber: Projek MMO
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW