Rancangan Terengganu untuk “menghukum” lelaki Islam yang ponteng solat Jumaat dengan mengarak mereka dalam van jenazah di depan umum masih tidak berjaya menahan walau seorang pun, selepas lebih setahun ia dilaksanakan.
Pihak berkuasa berkata, rancangan itu gagal dilaksanakan kerana pegawai agama yang diarahkan menahan pesalah, mereka sendiri pun perlu menunaikan solat Jumaat di masjid, lapor New Straits Times (NST), hari ini.
Sehubungan itu, pihak berkuasa agama negeri itu memutuskan untuk mengambil lebih ramai pegawai wanita untuk menjalankan tugas menahan lelaki Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat.
Akhbar harian itu memetik pegawai Majlis Hal Ehwal dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebagai berkata:”Pada masa ini, sukar untuk menguatkuasakan dasar berkenaan kerana pegawai penguat kuasa lelaki juga perlu menunaikan solat Jumaat.”
“Setakat ini, tidak ada pesalah ditahan kerana pegawai kami juga pergi solat Jumaat. Bila terima maklumat, mereka hanya boleh bertindak selepas solat Jumaat.
“Oleh itu, hanya pegawai wanita yang boleh menguatkuasakan dasar itu. Malangnya, kita berdepan masalah kekurangan pegawai wanita,” katanya yang enggan dinamakan.
Pada 25 Februari 2015, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengumumkan lelaki Islam yang ponteng solat akan diarak dalam van jenazah sepanjang perjalanan menuju ke pusat pemulihan.
Katanya, langkah itu bertujuan mendidik pesalah mengenai betapa pentingnya solat.
Bagaimanapun, menurut pegawai Maidam, hukuman itu tidak ditetapkan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
Mengikut enakmen itu, lelaki Islam dewasa yang ponteng solat Jumaat tiga minggu berturut-turut tanpa alasan kukuh, boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya, jika sabit bersalah.
Sumber: Free Malaysia Today
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW