‘Dia bagaikan pak turut, hanya mampu menangis dan jadi bodoh bila dipukul sedangkan duit gajinya sedap digunakan untuk keperluan suami’

Mentanglah wanita ini tak boleh lawan suami, sedap saja kaum Adam naik tangan ikut emosi. Salah sikit, terus nak sepak terajang. Nak mengadu pada siapa pun tak berani. Akhirnya pendam rasa sendiri. Tapi kenapa masa bercinta lelaki pandai sembunyikan sikap baran? Atau sememangnya wanita jenis tak pandai baca sikap baran?

Ini salah satu nasib kaum wanita dan masih menjadi dilema…

'Dia bagaikan pak turut, hanya mampu menangis dan jadi bodoh bila dipukul sedangkan duit gajinya sedap digunakan untuk keperluan suami'

‘Dia bagaikan pak turut, hanya mampu menangis dan jadi bodoh bila dipukul sedangkan duit gajinya sedap digunakan untuk keperluan suami’

Saya Adira dan masalah ini adalah masalah kakak saya. Ini berkaitan masalah dalam rumah tangga mereka dan saya sekeluarga sudah buntu bagaimana mahu membantu kakak dalam hal rumah tangganya. Apa yang buat saya marah dan sedih, kakak selalu menjadi mangsa pukul suaminya.

Kakak dan suami sudah berumah tangga lebih 15 tahun lamanya. Semasa dia membawa bakal suaminya ke rumah, ibu menunjukkan reaksi kurang senang. Riak wajah ibu jelas menggambarkan perasaan kurang setuju dengan pilihan kakak .

Tetapi sebagai anak perempuan sulung, kakak berusaha memujuknya.  Katanya teman lelakinya itu merupakan lelaki pertama yang berjaya mencuri hatinya. Kata kakak lagi, dia bakal menjadi suami yang boleh diharapkan untuk menjaganya di dunia dan akhirat. Teman lelakinya itu juga penuh dengan kasih sayang malah cukup romantik orangnya.

Akui kakak, sifat romantik itulah yang mengundang keyakinannya tentang sifat kasih yang ada pada teman lelakinya. Ketika itu, kami sekeluarga hanya mampu mendengar. Soal menasihati kak long tidak mungkin kerana sejak kecil dia memang anak yang degil dan selalu mahu menang.

Dua tahun berkahwin, saya mulai dengar cerita tidak elok dalam rumah tangganya. Khabarnya kak long hanya bahagia dua tahun pertama sebelum suaminya menunjukkan belang sebenar. Kak Long hidup menderita. Suaminya seorang yang panas baran kerana silap sikit, dia akan memukul kakak.  

Kakak menjadi mangsanya pukulannya sampai satu tahap, saya nampak kakak seolah-olah orang mamai dan tak tahu apa-apa. Dia bagaikan pak turut suaminya.

Buat makluman, suami kakak hanyalah seorang pembantu pegawai di sebuah syarikat swasta namun dia punyai hobi mahal. Dia suka membeli motosikal berkuasa besar. Kakak yang bergaji besar menjadi mangsa menanggung ‘selera’nya itu. Dalam masa yang sama, kakaklah yang banyak menanggung kehidupan keluarga.  

Bukan tidak pernah kakak menasihatinya. Biar berpada dalam soal hobi tapi suami enggan menerima. Separuh dari gajinya dihabiskan membayar hutang. Itu belum masuk lagi cukai jalan dan insurans. Kerosakan yang dialami serta lain-lain masalah. Sebiji tayar saja mencecah lebih RM500. Teguran kakak mengundang amarah suami. Katanya, kakak isteri yang kurang memahami.  

Anak-anak kakak ada tiga orang. Masing-masing di sekolah rendah dan menengah.  Belanja persekolahan bukan sedikit. Tetapi suami yang lebih mementingkan hobi, mengabaikan tanggungjawabnya. Bukan itu saja, tubuh badannya banyak kali menjadi mangsa sepak terajang. Bila memukul suaminya seperti lupa diri. Kakak hanya mampu menangis bila dipukul.

Tapi kata kakak, suaminya itu seorang yang pandai memujuk bila melihat kakak dalam kesakitan. Dia akan pujuk kakak dengan kata-kata manisnya. Meminta maaf di atas setiap perbuatannya malah satu caranya ialah mengadakan hubungan suami isteri. Itu kata kakak yang saya ceritakan semula di sini kerana sebagai adik, kami semua telah menasihatinya tetapi kakak tetap tidak mahu tinggalkan suaminya biarpun kami sudah memberi seribu jawapan. Kakak seolah-olah menjadi orang bodoh bila berhadapan dengan suami dan semua itu membuatkan kami geram dengan perangainya.

Satu lagi perangainya, bila keluarga cuba menasihati, suami memberi amaran agar jangan sesekali masuk campur dalam urusan rumah tangganya. Katanya dia lebih faham urusan seorang lelaki dan jangan suka-suka hati masuk campur. Keluarga kami terkedu mendengar amarannya. Bantulah kami, apa cara terbaik untuk kami nasihati kakak? Apa penyelesaian yang terbaik dalam hal ini? Kami kasihan pada kakak tetapi dia seperti takut untuk bercerai. Sedangkan badannya lunyai dipukul suami. Bantulah dirinya.

Ada pembaca lain yang berdepan dengan masalah ini tak? MW ada kongsikan pendapat oleh Ketua Penolong Pendaftar UUM, Sintok Kedah, Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad dalam ruangan Ya Tuhan bilangan 1709. Untuk dapatkan jawapan penuh dan bagaimana untuk atasi situasi ini anda boleh dapatkan majalah Mingguan Wanita yang sudah ada di pasaran.

Sumber : Mingguan Wanita



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post