Tiga penyamun yang memecah masuk rumah seorang pembantu tadbir di Taman Gau Makmur, di sini awal pagi semalam sempat meminta mangsa mematikan fungsi aplikasi iCloud pada telefon pintar Iphone yang dicuri sebelum melarikan diri.
Mereka dipercayai warganegara Indonesia itu turut meminta mangsa memberikan mereka pewangi badan yang dipercayai untuk menghilangkan jejak mereka.
Mangsa, Rahizah Ramli, 51, berkata, dia terjaga dari tidur pada kira-kira jam 3.30 pagi akibat batuk dan sambung semula tidur di ruang tamu.
Menurutnya, mukanya ditekup secara tiba-tiba dan tiga lelaki bertopeng menyuruhnya diam sambil mengacukan parang di leher.
“Mereka bawa saya ke dalam bilik dan mengejutkan suami, kami diikat dengan dawai pagar dan mereka menggeledah barang kemas di atas meja dan almari.
“Kemudian masuk ke dalam bilik anak mengambil wang tunai dan mengikat kaki serta tangan anak saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Rahizah berkata, penjenayah terbabit memecah masuk rumahnya melalui pintu dapur dan melarikan wang tunai antara RM700 hingga RM800 serta barangan kemas bernilai RM20,000.
Anak mangsa, Nur Azmina Jamaluddin Alias, 22, pula berkata, dia langsung tidak menyedari kehadiran ketiga-tiga perompak itu sehingga mereka masuk ke biliknya.
“Mereka suruh saya diam dan selongkar barang.
“Mereka tak ambil komputer riba tetapi ambil iPhone dan suruh saya mematikan aplikasi iCloud,” katanya.
Ketika kejadian, mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang pulang ke rumah sempena cuti semester itu berada dalam rumah bersama ibu bapa dan adik bongsunya.
Sementara itu, Pembantu Tadbir Institut Kemahiran Pekebun Kecil (IKPK) Risda Kampung Awah, Jamaluddin Alias Abdul Majid 55, berkata, dia hanya mampu berdoa supaya isteri dan anak-anaknya tidak diapa-apakan ketika diikat perompak terbabit.
Menurutnya, dia langsung tidak melawan kerana bimbang keselamatan isteri dan anak-anak.
“Mereka memecah masuk dengan memotong pintu jeriji besi dan umpil pintu kayu di bahagian dapur.
“Berdasarkan gerak kerja dilakukan penjenayah terbabit, mereka mempunyai kemahiran kerana minta anak saya matikan aplikasi iCloud, anak saya sendiri pun tak tahu fungsinya.
“Jika aplikasi itu tidak dimatikan, polis dengan mudah boleh menjejak mereka menerusi telefon pintar yang mereka curi,” katanya.
Jamaluddin berkata, mereka semua diikat tetapi ikatan perompak pada anak bongsunya berusia 12 tahun sedikit longgar.
Menurutnya, sebaik sahaja perompak tersebut melarikan diri, anak bongsunya berjaya melepaskan ikatan sendiri dan membantunya serta isteri melepaskan ikatan pada kaki dan tangan.
Polis mengesahkan menerima laporan kes tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sumber : Sinar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW