“Tak perlu persoal gelaran Datuk yang saya dapat” – Datuk Ifa Raziah

Penyanyi dangdut Ifa Raziah berkata, darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk diterimanya adalah daripada penganugerahan yang sah dan seharusnya tidak dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

“Jangan Pertikaikan Gelaran Datuk Saya” – Ifa Raziah

Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, 41, berkata, darjah Ahli Setia Diraja yang diterimanya pada Januari lalu itu adalah daripada institusi beraja yang sah di salah sebuah negeri di Malaysia.

Baca artikel sebelum: “Janggal bila orang panggil saya Dato” – Dato Ifa Raziah

“Ya… saya dikurniakan darjah kebesaran Ahli Setia Diraja dari sebuah negeri di Malaysia pada Januari 2016, ia bukan Datuk dari orang yang menyamar jadi sultan atau saya mendapat gelaran dari negeri seberang.

“Namun, tidaklah perlu untuk ia diheboh-hebohkan kerana saya hanya guna gelaran itu untuk majlis-majlis rasmi dan atas tujuan perniagaan sahaja,” ujarnya kepada mStar Online pada Jumaat.

Ifa Raziah diminta komen berhubung isu itu selepas ia diperkatakan dalam forum hiburan di internet.

Dalam pada itu, Ifa berkata dia menerima gelaran tersebut sebagai satu penghormatan terbesar buat dirinya.

 

Namun, dia tidak kisah sama ada mahu dipanggil dengan gelaran tersebut atau tidak dalam industri seni.

“Saya menerima gelaran itu sebagai satu tanda penghormatan, tak kan pula saya nak menolaknya. Lagi pula gelaran itu diberikan dan bukannya saya yang minta.

“Dalam industri perniagaan ramai yang sudah tahu dan maklum tentang gelaran yang saya dapat ini, cuma di atas pentas, saya masih lagi Ifa Raziah yang dulu,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang beberapa pihak yang masih mempersoalkan gelaran tersebut, Ifa berkata, layak atau tidak dia menerima anugerah itu perlu ditanya kepada pihak yang menganugerahkannya.

“Tidak apalah kalau ada orang yang mempertikaikan gelaran itu, saya hanya tersenyum, sama ada layak atau tidak hanya pihak yang memberikan gelaran itu sahaja yang tahu. Siapalah kita untuk mempertikaikannya,” ujarnya.

Dalam pada itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zamry Abd. Kadir mendedahkan wujudnya pihak di negeri itu yang bergiat aktif mengurniakan darjah kebesaran palsu yang dikenali sebagai Ahli Setia Diraja Perak.

Zambry dalam kenyataannya kepada media pada 3 Februari lalu berkata, pihaknya mempunyai bukti bergambar mengenai istiadat pengurniaan pingat palsu itu sehingga menodorong kerajaan negeri membuat laporan polis.

”Mereka yang telah menerima anugerah palsu ini dinasihatkan supaya tidak lagi menggunakan gerlaran yang diberikan,” kata beliau.

Tambahnya, penerima gelaran palsu itu bukan sahaja membawa kad khas diraja tetapi dengan berani meletakkan lambang diraja di kenderaan mereka kononnya ahli diraja Perak.

Sumber: Mstar


lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post