China kejutkan dunia berjaya cipta radar kuantum, pesawat halimunan Amerika tergugat

China mengejutkan ahli-ahli sains dunia apabila berjaya mencipta radar kuantum  yang mampu mengesan pesawat tempur halimunan sejauh 100 kilometer.

Penemuan baru itu bergantung pada teknologi kuantum, yang pernah digelar Albert Einstein sebagai “tindak berhantu pada suatu jarak”, lapor South China Morning Post.

Radar kuantum mampu mengesan pesawat tempur halimunan

radar kuantum mampu mengesan pesawat tempur halimunan

radar kuantum mampu mengesan pesawat tempur halimunan

Teknologi radar yang direka China Electronics Technology Group Corporation (CETC), antara syarikat industri pertahanan terbaik dunia milik China, diumumkan Ahad lalu.

Foton (photon) pada sistem radar itu dilaporkan berjaya mengesan sasaran dalam jarak 100 kilometer pada satu ujian lapangan terbaru.

Jarak pengesanan itu lima kali lebih hebat daripada prototaip di makmal yang dijalankan bersama penyelidik-penyelidik Kanada, Jerman, Britain dan Amerika Syarikat.

CETC berkata “sistem radar kuantum foton tunggal” boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan kerana ia mengesan objek “halimunan” yang gagal dijejak teknologi biasa radar.

Profesor Ma Xiaosong, pakar fizik di Universiti Nanjing yang mengkaji teknologi radar kuantum,  berkata penemuan seumpama itu belum pernah dilaporkan secara terbuka.

“Jarak jejakan yang dilaporkan pengkaji antarabangsa tidak sampai sejauh 100km,” katanya seperti dilapor akhbar tersebut, Rabu lalu.

Namun seorang pengkaji radar tentera, yang tidak dinamakan, di sebuah universiti di barat daya China mendakwa radar baru CETC mungkin boleh mengesan lebih 100 kilometer.

“Angka-angka dalam dokumen umum selalunya versi ubah suai yang lebih rendah daripada [keupayaan] sebenar,” katanya. “Pengumuman itu menjadi viral [di kalangan penyelidik radar].”

Ahli-ahli sains dilaporkan terkejut kerana, sehingga kini, idea radar kuantum dianggap hanya cereka sains, yang belum berjaya dibangunkan.

Akhbar South China Morning Post juga melaporkan radar kuantum boleh mendapat maklumat penting seperti bentuk, lokasi, kelajuan, suhu dan malah jenis cat pada objek sasaran.

Namun CETC berkata kelebihan radar baru ciptaannya bukan sahaja untuk mengesan pesawat tempur “halimunan” — yang banyak dimajukan oleh Amerika Syarikat.

Teknologi itu juga boleh dibangunkan sebagai sistem radar yang sangat sensitif dan mudah alih yang dapat berdepan saat-saat paling sukar sewaktu bertempur.

Sistem radar kuantum berbentuk kecil sahaja dan boleh mengelak tindakan lawan musuh, misalnya peluru berpandu antiradar kerana teknologi kuantum tidak boleh dikesan.

Syarikat itu juga berkata teknologi tersebut hasil kerjasama pakar-pakar di Universiti Sains dan Teknologi China di Hefei, kira-kira 450 kilometer di barat Shanghai.

Universiti ini antara pusat penyelidikan termaju dalam bidang fizik kuantum, termasuk membangunkan satelit kuantum pertama di dunia dan jaringan komunikasi paling selamat.

Agensi penyelidikan termaju DARPA di Amerika Syarikat juga dilaporkan membiayai kontraktor pertahanannya Lockheed Martin untuk membina radar kuantum untuk peperangan.

Namun pencapaian kajiannya masih belum diketahui.

 

Sumber: Projek MMO

 



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post