Demi jaga ibu lumpuh, air rebusan nasi ganti susu

Hidupnya serba kekurangan namun itu tidak pernah dijadikan alasan untuk mengabaikan kebajikan ibunya yang lumpuh sebaliknya dia cuba sedaya upaya untuk memberikan kehidupan yang terbaik untuk wanita yang melahirkannya itu.

Air rebusan nasi ganti susu

Air rebusan nasi ganti susu

Bagi Nazimah Mat Peah, 44, walaupun hidup dalam kesempitan sejak ditinggalkan suami lebih 10 tahun, namun dia tetap menguruskan ibunya sebaik mungkin kerana di situlah terletaknya syurga bagi seorang anak.

Menurut Nazimah yang tinggal di Kampung Panchur, ibunya, Aminah Abad, 78, tiba-tiba lumpuh pada penghujung 2014 selepas kedua-dua mata ibunya buta akibat dimasuki habuk.

“Sebelum ini, ibu pernah bekerja di ladang sawit dan pada waktu itu matanya dimasuki habuk sehingga menyebabkan kedua-dua matanya buta.

“Keadaan semakin buruk apabila ibu tidak dapat lagi melihat dan badannya juga semakin susut akibat kuman yang merebak dan akhirnya menyebabkan dia lumpuh,” katanya ketika ditemui di sini.

Ibu kepada tiga anak itu mengakui banyak perbelanjaan yang dikeluarkan sejak ibunya lumpuh apabila perlu menyediakan lampin dewasa dan susu khas bagi keperluan ibunya.

“Ibu saya kini bergantung pada tiub untuk minum susu serta membuang air. Dia sudah tidak berdaya menguruskan diri sendiri lagi,” katanya.

Katanya, akibat kesempitan hidup menyebabkan dia kini tidak lagi mampu membeli susu khas untuk ibunya sebaliknya menggantikannya dengan air rebusan nasi sahaja.

“Sebelum ini, ibu ada menerima bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), beban kurang dirasai kerana keperluannya masih boleh ditampung dengan wang yang diterima.

“Namun, bantuan berkenaan terhenti sejak setahun lalu disebabkan ibu lambat mengemas kini maklumat kerana keadaannya yang semakin uzur.

“Saya juga tidak boleh bekerja kerana perlu menjaga ibu dan hanya mengharap bantuan dua anak yang kerja kampung untuk menghulur sedikit bantuan bagi menampung keperluan,” katanya.

Nazimah mengakui banyak bantuan yang cuba dipohon, termasuk zakat bagi membantu kehidupannya sebagai ibu tunggal namun semuanya gagal.

“Sudah puas saya naik turun pejabat berkaitan untuk mohon bantuan, tapi tiada yang peduli.

“Bekas suami adalah warganegara asing, dia meninggalkan saya dan tiga anak begitu saja tanpa sebarang khabar. Saya tidak mempunyai surat cerai, jadi status itu menjadi faktor saya tidak layak menerima apa-apa bantuan,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post