Lelaki terlanggar penunggang motosikal tiba-tiba tukar arah, rupanya bapa sendiri

Seorang pekerja kedai makan hanya mampu melahirkan kekesalan apabila menyedari individu yang dilanggarnya dalam kemalangan di Batu 6, Jalan Gambang, di sini, semalam, adalah bapanya sendiri.

Terlanggar bapa sendiri

Terlanggar bapa sendiri

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, mangsa, Ab Jabar Ab Wahab, 69, dari Kampung Permatang Badak, Jalan Gambang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dalam perjalanan dari arah Gambang menghala ke bandar ini.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, mangsa membuat pusingan U dan dikatakan secara tiba-tiba mengubah haluan serta masuk ke laluan utama secara mengejut.

“Pada masa sama, sebuah kereta Perodua Viva dipandu seorang lelaki, Ahmad Shahrim Ab Jabar, 41, dari arah Kuantan menghala ke Gambang cuba mengelak mangsa dengan menukar haluan ke arah kanan jalan, namun bahagian kiri kenderaan itu melanggar belakang motosikal mangsa.

“Akibatnya, mangsa terpelanting beberapa meter dan meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan,” katanya di sini, semalam.

Katanya, pemandu kereta terbabit keluar untuk melihat mangsa dan terkejut individu yang dilanggarnya itu adalah bapanya sendiri.

“Mangsa cuba dibantu orang ramai yang berada di tempat kejadian, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba beberapa minit kemudian, manakala pemandu kereta tidak cedera,” katanya.

Mohd Noor Yusof berkata, hasil siasatan pihaknya mangsa dan pemandu kenderaan itu mempunyai lesen memandu yang sah dan ketika kejadian keadaan cuaca baik.

 

Sumber: Harian Metro



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post