Pemilik akaun Facebook yang memuat naik status dakwaan mengaitkan Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Husin membuli ketika sedang memandu menarik balik tuduhan itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka.
Pemuda itu dalam satu kenyataan menyatakan kekesalan terhadap status yang dimuat naik di laman Facebook miliknya sehingga menjejaskan nama Nazir.
Baca:
“Saya dengan sepenuh hati dan tanpa paksaan daripada mana-mana pihak dengan ini memohon maaf kepada saudara Nazir Hussin Akhtar Husin di atas segala penulisan, meletakkan gambar beliau dan penerbitan tuduhan secara melulu sehingga mengakibatkan fitnah yang saya buat ke atas beliau pada 19.08.2016 menerusi akaun Facebook saya yang mengakibatkan kereta NH 10.
“Saya juga menyatakan penyesalan saya yang sepenuhnya di atas penulisan dan penerbitan tersebut kerana ianya telah menjadi viral dan telah menjejaskan serta merosakkan imej dan reputasi saudara Nazir Hussin Akhtar Husin dan keluarga,” katanya.
Sebelum ini, dia memuat naik status yang mengaitkan kereta yang kononya pemiliknya adalah Nazir Hussin memandu secara berbahaya dan hampir menyebabkannya terlibat dalam kemalangan.
Katanya, dia juga menarik balik segala tuduhan yang mengakibatkan fitnah ke atas Nazir Hussin di dalam akaun Facebooknya dan juga menarik balik segala gelaran tidak baik yang disebutkannya.
“Saya juga memohon maaf kepada keluarga saudara Nazir Hussin Akhtar Husin termasuk terhadap ibu, ibu mertua, isteri dan adik-beradik beliau kerana penulisan dan penerbitan saya tersebut memberi kesan negatif kepada isteri dan keluarga beliau.
“Saya juga dengan ini memohon maaf kepada Umno terutamanya Pemuda Umno Malaysia kerana penulisan dan penerbitan saya tersebut juga telah memberi kesan negatif kepada parti itu dan Pemuda Umno Malaysia kerana saudara Nazir Hussin Akhtar Husin adalah merupakan salah seorang pemimpin Pemuda Umno Malaysia,” katanya.
Katanya lagi, untuk itu dia menyeru kepada semua agar tidak mengulangi kesilapan sepertimana yang dilakukannya dengan membuat rumusan secara melulu sehingga mengakibatkan fitnah pada seseorang dan keluarganya.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada saudara Nazir Hussin Akhtar Husin dan rakan-rakan beliau yang sangat tenang kerana tidak mengambil tindakan melulu dengan menyerang saya dan keluarga saya,” katanya.
Sumber: Sinar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW