Satu daripada lima pelajar sekolah di negara ini mengalami masalah kesihatan mental, menurut kajian Kementerian Kesihatan.
Hasil kajian Program Minda Sihat Menangani Stres Dalam Kalangan Murid Sekolah mengesan penyakit itu melibatkan pelajar seawal umur tujuh tahun hingga 17 tahun.
Kajian melibatkan 30,000 responden antara tahun 2011 hingga 2015, lapor Berita Harian.
Antara tanda-tanda gejala adalah kemurungan, resah, gangguan mental dan tekanan.
Saringan dilakukan susulan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Dunia yang mengatakan penyakit mental akan menjadi masalah kesihatan kedua tertinggi dunia pada 2020.
Mengulas lanjut, Perunding Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur berkata sekolah di Malaysia meletakkan isu pelajar hiperaktif dalam kategori masalah disiplin.
Dr Ramli Mohd Ali sebaliknya berkata, sepatutnya golongan pelajar terbabit dirujuk kepada pakar psikiatri.
“Gejala kemurungan jika tidak dirawat awal boleh membahayakan diri atau orang lain kerana pesakit akan bertindak di luar kawalan minda diri.
“Suka bersendirian dalam bilik, selera makan berkurang, sukar tidur, kerap kencing dan lain-lain adalah antara simptom awal penyakit mental,” katanya.
Faktor lain katanya termasuk persekitaran, sekolah, keluarga, rakan aatau genetik.
Katanya, masalah Kurang Penumpuan dan Hiperaktiviti (ADHD) jika tidak dirawat sejak peringkat awal juga berbahaya dan individi itu berpotensi menjadi penjenayah apabila dewasa.
Ini kerana katanya sikap pesakit ADHD yang suka bergaduh dan panas baran menyebabkan mereka disisihkan masyarakat.
Sumber: Malay Mail
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW