Tokoh korporat terkenal Tan Sri Tony Fernandes menyatakan kesanggupannya bertanding untuk mengisi jawatan Presiden FAM dalam pemilihan dijadual pada tahun depan.
Fernandes yang kini memiliki kelab liga bola sepak Inggeris Queens Park Rangers (QPR) berkata beliau sedia mempertimbangkan cadangan itu jika mendapat pencalonan.
Portal Astro Arena memetik Fernandes sebagai berkata, jika diminta untuk mengisi jawatan berkenaan selepas kerusi berkenaan dikosongkan nanti beliau akan mempertimbangkannya.
Fernandes berkata demikian pada suatu majlis diadakan di Bangkok Thailand semalam.
FAM masih menjadi sasaran kritikan pelbagai pihak ekoran prestasi hambar skuad bola sepak kebangsaan negara sehingga kini.
Terbaru dalam perlawanan persahabatan menentang Indonesia pada Khamis lalu, skuad Harimau Malaysia diaibkan 0-3 di depan penyokong pasukan lawan di Solo.
Salah seorang pengkritik tegar FAM ialah pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pada 4 September lalu Tengku Mahkota Johor itu menyatakan beliau “tahu” siapa yang akan mengisi jawatan penting dalam FAM, membabitkan presiden, setiausaha agung dan jurulatih skuad kebangsaan.
Bagaimanapun Tunku Ismail tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenainya.
FAM sepatutnya mengadakan kongres tahunan dan pemilihan pada 2018 namun tarikh berkenaan disegerakan ke tahun depan untuk membolehkan tokoh baru dilantik menggantikan presiden sekarang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Tunku Ismail turut disebut-sebut untuk mengisi jawatan berkenaan namun setakat ini menolak cadangan berkenaan.
QPR pernah bersaing dalam liga utama Inggeris, EPL, untuk musim 2011/12 dan bertahan di situ selama dua musim.
Ketika ini kelab berkenaan bersaing dalam liga kedua Inggeris.
Sumber: Malaysiakini
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW