Cuma setengah jam selepas memberikan ceramah di surau Austin Perdana, Tebrau di sini malam tadi, ustaz Mat Esa Deraman ditahan penguatkuasa agama, dipercayai akibat pengharaman beliau di Johor.
Penceramah bebas yang popular di negeri itu ditahan pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kira-kira 9.30 malam tadi dan di bawa ke ibu pejabatnya di sini untuk memberi keterangan, menurut saksi.
Seorang saksi kejadian Mohd Akhirudin Abdul Wahab, 54, berkata hampir 30 penguatkuasa membanjiri surau berkenaan untuk menahan Mat Esa tanpa memberikan sebarang sebab.
“Mereka datang, dan salah seorang pegawai datang kepada ustaz dan minta berhentikan ceramah,” katanya kepada ProjekMMO, merujuk kepada pihak penguatkuasa.
“Sekarang ustaz (Mat Esa) masih lagi di bilik tahanan di JAINJ. Kami tidak dinyatakan sebab kenapa dia ditahan tetapi kami sudah lantik peguam. Kami hendak tahu pertuduhan dan akan cari tarikh untuk perbicaraan,” tambahnya.
Awal Februari lalu, kerajaan Johor melarang 16 penceramah bebas yang didakwa tidak sealiran dengan fahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah berceramah atau mengajar agama di negeri itu. Larangan tersebut telah berkuat kuasa 31 Disember lepas.
Dalam dokumen senarai larangan itu, Mat Esa, 41, didakwa membenarkan penganut Islam mengikut pelbagai mazhab dalam menunaikan solat, seolah-olah menyokong fahaman Wahhabi, dan mengajar tanpa tauliah.
Selain beliau, nama Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan exco Pemuda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya turut tersenarai.
Akhiruddin, setiausaha Pertubuhan Islam Pasir Gudang yang dinaungi Mat Esa, turut memberitahu pendakwah itu telah memohon tauliah daripada JAINJ sejak 2014 lagi namun tidak mendapat sebarang jawapan.
“Saya [wakil] yang hantar [permohonan] tauliah pada 2014. Kami masih menunggu. Saya juga ada tanya status tapi daripada khabar mulut, pegawai kata teruskan ceramah sahaja,” jelasnya.
Salinan dokumen permohonan tersebut telah dilihat ProjekMMO.
Sementara itu, seorang lagi saksi lagi yang juga jiran Mat Esa terkilan dengan penahanan penceramah itu yang didakwa mengajar hampir 15 tahun di Pasir Gudang.
“[Penguatkuasa] datang terus pergi ke tempat ustaz, dan ustaz cakap dengan mikrofon ‘kuliah terpaksa dihentikan’. Jadi kami tertanya-tanya dan tidak tahu apa sebab.
“Saya bawa ustaz naik kereta, saya jiran dekat rumahnya di Bukit Dahlia, Pasir Gudang. Di Pasir Gudang, beliau sudah adakan kuliah hampir 15 tahun.
“Di sini juga sudah hampir dua tahun. Kuliahnya biasa sejam, setiap malam Isnin,” kata Hashim Jamaludin, 54, merujuk surau Austin Perdana.
ProjekMMO kini dalam usaha menghubungi pihak JAINJ untuk meminta butir lanjut tentang insiden tersebut. Difahamkan ustaz Mat Esa dibebaskan jam 4 petang tadi.
Sumber: Malay Mail
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW