Menurut Remy, pihak polis sudah mengeluarkan kenyatan bahawa serbuan yang dilakukan tidak menemui sebarang bukti yang mendakwa terdapat dadah di rumahnya.

“Sudah terbukti rumah saya tiada dadah. Jadi, saya tanya pada pihak polis apa yang boleh dilakukan terhadap individu yang membuat tuduhan palsu itu dan saya diminta membuat laporan polis.

“Saya sudah membuat laporan polis tetapi sehingga kini tiada tindakan dan jawapan daripada pihak polis walaupun saya kerap kali bertanya,” katanya.

Jelasnya, dia sedikit kesal dengan apa yang berlaku walaupun sudah melakukan apa yang sepatutnya dilakukan mengikut saluran undang-undang.

Buat masa ini, jelas Remy, dia menyerahkan perkara ini kepada peguamnya untuk sebarang tindakan lanjut.

Kata pelakon ini, kes ugut bunuh yang dilakukan kepadanya sedang diselesaikan dan diberitahu sudah berada di peringkat akhir.

Pada awal bulan September lalu, Remy memberitahu dia diugut bunuh oleh seorang 
wanita kerana enggan bertemunya.

Beberapa minggu selepas itu, rumahnya pula diserbu oleh pihak polis yang mendapat aduan bahawa rumahnya terlibat dengan aktiviti dadah.

Ditanya sama ada dia mengesyaki sesiapa berkaitan kes ini, jelas Remy, jika sudah dua kes dalam masa yang terdekat, sudah pasti dalangnya adalah orang sama.

“Tetapi saya pun tidak boleh mengulas dengan lebih lanjut sebab perkara ini masih lagi di bawah siasatan polis,” katanya.

Ditanya mengenai apa yang berlaku dengan kerjayanya, jelas Remy, apa yang berlaku sememangnya mengganggu kerjayanya.

Apatah lagi menurutnya, dia adalah seorang selebriti dan dikenali. Sudah pasti apa sahaja yang dikatakan kepadanya membentuk persepsi masyarakat.

“Biasalah bila menjadi artis, pasti ramai yang mahu mengambil tahu dan bila ada fitnah yang ditujukan kepada saya, sudah pasti itu membentuk persepsi.

“Walaupun saya sebenarnya tidak terlibat dengan dadah, tetapi nama saya sudah buruk dan sebagai artis, itu sesuatu yang tidak sepatutnya dielakkan,” jelasnya.

Bercakap mengenai kerisauannya kini, Remy mengakui kes-kes yang berlaku dalam masa terdekat sebenarnya mengganggu kehidupannya dan keluarga.

Dalam pada itu, bercerita mengenai perkembangan terbaharunya, dia kini sedang menjalani penggambaran filem Pulang yang diarahkan Khabir Bhatia.

“Memang saya teruja sebab watak ini sangat berbeza kerana saya menjadi seorang kelasi kapal dari sebuah kampung.

“Filem ini melibatkan kisah kehidupan, drama, percintaan dan aksi. Bulan November baru selesai penggambaran,” katanya.

Selain daripada itu, jelas Remy, dia hanya fokus kepada filem sahaja dan tawaran-tawaran lain sedang dipertimbang.

“Bukan saya memilih tetapi saya menilai setiap watak yang akan saya lakukan dan kesesuaian waktu ketika itu,” jelasnya.