Penentuan belum berakhir tetapi pemain Kedah meraikan detik itu seolah-olah Piala Malaysia sudah dalam genggaman.
Itu yang terlihat apabila tendangan Hafiz Kamal gagal menggegarkan gawang dikawal penjaga gol Kedah Ifwat Akmal Chek Kassim.
Sedetik kemudian pemain Kedah berkerumun memeluk penjaga gol itu seolah-olah mereka sudah memuktamadkan kejayaan.
Sedangkan ketika itu perlawanan belum berakhir dan kedudukan masih terikah 4-4.
“Oh itu kami mungkin terlampau teruja dan kami mungkin ada sedikit (perang) psikologi (pernah) yang kami buat sebelum ini apabila seri,” jelas Kapten Kedah Baddrol Bakhtiar mengulas tindakan mereka meraikan kemenangan lebih awal Piala Malaysia malam tadi.
Jawapan Baddrol itu sekali gus mengundang gelak ketawa di kalangan wartawan pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Shah Alam itu.
Perlawanan berlangsung sengit namun keadaan terus buntu sehingga tamat masa sebenar dan masa tambahan – semuanya berjumlah 120 minit – tanpa ada pemenang sebenar muncul.
Disebabkan terikat 1-1, penentuan melalui penalti dilakukan dan ia berlangsung dengan penuh debaran.
Ketika Kamal gagal menyempurnakan tendangannya pemain Kedah tiba-tiba bersorak seolah-olah mereka sudah meraih kemenangan mutlak.
Harap keajaiban
Ternyata di sebalik kejadian itu, Kedah berjaya menewaskan Selangor untuk menjulang Piala malaysia edisi ke-90 dan kali kelima untuk skuad Helang Merah.
Baddrol berkata, kejayaan kali ini hasil usaha sepasukan di samping dispilin mereka mengikut setiap arahan jurulatih Tan Cheng Hoe.
Ditanya perasaannya ketika Smeltz Shane Edward gagal menyempurnakan sepakan penalti pertama, katanya apa yang diharap adalah berlakunya keajaiban.
“Selalunya saya tekankan supaya (rakan-rakan) berfikiran positif.
“Saya terbayang perlawanan akhir Sukan SEA (2011) di Stadium Bung Karno (Indonesia) dan mengharapkan keajaiban sekali lagi,” katanya yang juga kapten skuad 23 tahun meraih pingat emas ketika itu.
Tambah pemain berusia 28 tahun itu, dia sangat terharu dengan kejayaan Kedah kali ini sekali gus mengganggap kejayaan ini juga ‘rezeki anak’.
“Saya rasa terharu dan gembira kerana tahun ini dengan rezeki kelahiran anak dan kejayaan malam ini juga saya anggap rezeki anak.
“Jadi terima kasih buat rakan-rakan dan penyokong terutamanya,” katanya bapa kepada bayi perempuan yang dilahirkan isterinya pada 15 Ogos lalu.
Sementara itu Baddrol berkata, selepas berjaya membawa kejayaan untuk Kedah dia mempunyai satu lagi misi bagi pasukan negara bagi Piala Suzuki AFF.
“Memang itu tugas saya satu lagi bersama skuad Malaysia sebab ia satu lagi impian belum saya capai setakat ini untuk meraih kejuaraan Piala Suzuki AFF bersama pasukan kebangsaan.
“Menjadi impian saya pada tahun ini untuk meraih Piala Malaysia dan Piala Suzuki,” jelasnya.
Sumber: Malaysiakini
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW