Dua produk kari popular ada najis lembu dan serbuk papan? Ini jawapan Jakim

Dua produk kari popular ada najis lembu dan serbuk papan? Ini jawapan Jakim | Maklumat memang di hujung jari tetapi sebaran palsu untuk meresahkan pengguna semudah itu juga beredar sehingga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) campur tangan.

Isu ini bertambah panas apabila ramuan kaum dan agama, yang sedia dikipas dalam masyarakat, turut diadun untuk menambah selera pengguna media sosial yang keliru.

Dua produk kari popular ada najis lembu dan serbuk papan? Ini jawapan Jakim

Dua produk kari popular ada najis lembu dan serbuk papan? Ini jawapan Jakim

Semalam, bahagian hab halal jabatan itu terpaksa menjelaskan produk-produk kari popular Baba’s dan Alagappa’s tidak mengandungi “najis lembu, serbuk papan, tisu dan surat khabar.”

Kononnya lagi, seperti imej yang dikepilkan di laman Facebook Jakim dengan huruf besar “tidak benar!!!” ustaz tertentu telah menyemak amalan tidak suci di kilang mereka di Pulau Pinang.

Sebaran palsu itu memburukkan dua jenama tersebut, yang dimiliki usahawan bukan Islam, dengan seruan pengguna perlu bertukar kepada produk-produk keluaran bumiputera.

Untuk menakutkan lagi pengguna, sebaran fitnah itu mendakwa 40 peratus keuntungan produk syarikat-syarikat tersebut disalurkan kepada kuil di Batu Caves, Selangor.

Jakim menjelaskan maklumat tersebut “tidak benar” dan “tidak berasas sama sekali” kerana produk-produk Baba’s dan Alagappa’s pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang masih sah.

“Proses pengeluaran SPHM telah mengambil kira setiap ramuan dan proses yang berkaitan di dalam pengeluaran sesuatu produk dengan teliti oleh pakar syariah dan juga teknologi makanan,” jelas jabatan itu lagi.

Kadang-kadang bahagian hab halal jabatan ini berdepan dengan isu serupa yang pernah disebarkan sebelumnya.

Semalam, ia terpaksa menjelaskan kiub daging babi jenama terkenal Knorr, yang menjadi viral, tidak dikilangkan di Malaysia dan tidak ada di pasaran negara ini.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa produk [bukan babi] jenama Knorr yang dikilangkan oleh Unilever Foods (Malaysia) Sdn Bhd mempunyai SPHM yang masih sah sehingga kini,” katanya di laman Facebook tersebut.

Selain menjawab sebaran palsu, Jakim juga mengulas perkembangan semasa seperti isu burger babi kontroversi “P Ramly” yang dilaporkan Berita Hariankelmarin.

Jabatan itu mengingatkan pengguna Islam agar “berhati-hati memilih premis makanan yang ingin dikunjungi dan peka dengan promosi premis yang boleh mengelirukan.”

Mengulas lanjut fitnah terhadap dua produk kari itu, Jakim menyeru masyarakat Islam agar “lebih bijak dan peka” apabila menerima sesuatu maklumat.

“Jangan mempercayai maklumat yang tidak disahkan, serta perlu menyelidiki terlebih dahulu sebelum menyebarkan maklumat tersebut,” katanya.

Sumber: Malay Mail



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post