Hampir enam tahun terlibat dalam bidang lakonan, bukan sikit drama yang telah menampilkan dirinya. Antara drama yang dilakonkan ialah Supermak, Tiara dan filem pula Kampung Drift dan Radhi Rudy Bin Dadu.
Kenapa? Tidak percayakah? Atau anda tidak lagi mengenali lelaki ini yang telah melalui proses kitaran semula pada hari ini? Ya, berjaya membuang lebihan lemak hampir 100 kilogram daripada menghuni dalam batang tubuhnya, hari ini ramai yang tidak mengenali dia dek kerana perubahan itu.
Tidak apalah jika ramai yang kurang mengenalinya hari ini kerana bagi Jazli Hassan, dia mahu memulakan hidup baharu selepas berjaya mencapai sasaran, kurus dan sihat.
Jazli Hassan
“Sehingga kini saya masih rasa menyesal kerana tidak bertindak lebih awal. Bayangkan, saya pernah capai berat sehingga 178 kilogram dan itu berat paling maksimum saya,” kata pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini.
Waktu itu tidak pernah terlintas untuk dia mengurangkan berat badan apatah lagi sedang galak menerima tawaran lakonan.
Sepanjang enam tahun itu, bukan mudah bagi Jazli Hassan untuk meneruskan minatnya dalam lakonan. Semuanya memerlukan kudrat yang kuat dan belanja yang besar.
“Pernah bergelar seorang yang gemuk, saya tahu mereka yang gemuk rasa kini, terutama dalam industri seni. Saya dikenali sebagai seorang pelakon gemuk, tetapi hakikatnya saya hanyalah diperguna oleh orang lain semata-mata,” jelasnya.
Fizikal gemuk antara idea yang sering diperguna sebagai sumber untuk bahan ketawa segera. Dia diketawakan dengan keras, setiap kali muncul di layar. Memang tiada masalah, tetapi apa yang lebih menyedihkan ialah apabila bayaran yang diterima sungguh tidak setimpal dengan tanggungjawab yang dilaksanakan.
Jazli sendiri berhabis ribuan ringgit semata-mata hendak membeli baju untuk dipakai semasa sesi penggambaran dan mencari baju itu juga bukanlah sesuatu yang mudah.
“Sudahlah bayaran saya tidak banyak jika hendak dibandingkan dengan pelakon lain apatah lagi pelakon utama. Jadi perbelanjaan itu agak banyak, baju yang tidak berjenama dengan saiz 6XL pun sudah mencecah ratusan ringgit.
“Itu baru sehelai, kalau saya beli empat sekali, memang tidak cukuplah duit. Dapat bayaran sedikit sangat, beli baju mahal-mahal, apa saya hendak makan?” luahnya.
Malah, dia sendiri pernah menangis apabila diejek kerana asyik mengulangi baju yang sama pada sesi penggambaran.
Orang luar menurut Jazli tidak faham apa dilema yang pelakon gemuk hadapi. Hendak mencari baju yang bersaiz besar bukan mudah.
Bukan itu sahaja, menurut Jazli dia pernah dimarahi oleh kawan pelakon yang juga gemuk, Kumin. Ini kerana tidak memikirkan mengenai keselamatan terlebih dahulu sebelum berlakon.
Kena marah dengan Kumin
“Sepanjang saya berlakon, Kumin antara yang paling banyak memberi nasihat terutama bila bekerja dalam industri. Kumin marah saya kerana ada sekali saya perlu berlakon di tebing sebuah bumbung bangunan dan tanpa sebarang keselamatan yang menyokong saya.
“Waktu itu, Kumin beritahu, jangan sesekali abaikan keselamatan biarpun kita bukan teraju utama filem atau drama, kita kena sihat. Kalau kita sakit atau cedera, tiada siapa yang akan bantu pun,” jelasnya.
Bermula daripada situ, Kumin menjadi antara yang rapat dengan Jazli dan banyak membantunya dari segi pakaian. Tetapi, di sebalik saiz badan yang besar, Kumin tetap memberi nasihat kepada Jazli untuk sentiasa menjaga kesihatan walaupun berbadan gemuk.
“Kata-kata itu saya pegang daripada dulu lagi sehinggalah fizikal saya kini sudah menjadi kurus,” kata Jazlin.
Tiada siapa yang tahu Jazli hadapi sendiri. Kesukaran yang dihadapi ketika sesi penggambaran sehinggalah kepada masalah kesihatan. Di set penggambaran jelas Jazli, berbadan besar memberi kesukaran kepadanya. Tetapi, dia sendiri perlu berfikir mengenai orang lain.
“Memang saya penat. Ada sekali saya terjatuh dan amat sakit sangat. Tetapi saya tahan kerana tidak mahu adegan itu terganggu kerana saya yang akan menyusahkan orang lain termasuk pelakon dan kru.
“Memang nampak kelakar bila saya jatuh, tetapi sakitnya hanya Tuhan yang tahu. Selesai adegan itu, terus saya panggil kru untuk bantu. Tetapi orang lain tidak tahu dan sampai bila perlu saya diperguna dan memperguna diri sendiri untuk orang lain,” luahnya.
Mahu bantu artis gemuk
Kehidupan Jazli Hassan kini lebih terarah untuk memberikan kesedaran kepada mereka yang berbadan besar untuk hidup sihat. Pernah menjadi gemuk dan kini kurus membuatkan Jazli Hassan tahu apa sebenarnya yang dihadapi oleh golongan sebegitu untuk kurus.
“Saya sekarang mengendalikan Jom Kurus 1Malaysia (JK1M) di bahagian Puncak Alam, Selangor. Pengalaman saya menjadi gemuk dijadikan panduan buat mereka,” jelasnya.
Selain itu jelas Jazli, ada selebriti bersaiz besar yang cuba bertanya dan meminta nasihat daripadanya untuk menurunkan berat badan.
Baginya, itu adalah sesuatu yang positif dan dia sendiri berhasrat untuk membantu mereka seboleh yang mungkin.
“Usah tipu jika ada yang selesa dengan badan gemuk apatah lagi yang melampau. Saya sudah lalui semua itu dan itu sesuatu yang sukar. Sebab itu saya suka sekiranya ada yang mahu bertanyakan tip untuk kurus. Saya sentiasa terbuka untuk membantu mereka terutamanya golongan artis,” jelasnya.
Kini, penglibatan dalam industri seni Jazli Hassan tidak lagi seaktif dahulu. Jika ada pun, hanyalah sebagai seorang guru teater sambilan.
Tetapi kehidupannya kini selesa. Punya fizikal dan kesihatan yang baik sudah cukup untuknya bersyukur.
“Saya gembira kerana kini kisah saya menjadi inspirasi. Itu jauh lebih seronok daripada berlakon. Cuma kekesalan saya ialah terlalu lambat saya sedar mengenai perkara ini,” katanya.
Apa yang difikir Jazli ketika mengambil keputusan untuk kurus ialah masa depan. Jika dia sakit, siapa yang akan pedulikannya? Tiada siapa melainkan ahli keluarganya. Itu yang menjadi penguat semangat untuk Jazli kurus.
“Orang kenal saya sebagai seorang lelaki gemuk dan di situ rezeki saya. Lagipun memang saya sayang dengan watak-watak gemuk yang dibawakan sehingga dikenali. Tetapi, saya fikir balik, hidup saya ini bukan hanya untuk menjadi seorang pelakon lelaki yang gemuk sahaja walaupun itu punca rezeki saya.
“Saya ada kehidupan masa hadapan yang perlu difikirkan. Ini melibatkan diri sendiri, bukan kehidupan orang lain,” jelasnya.
Satu yang menggembirakan Jazli adalah ketika dia boleh berlari selepas badannya mulai menyusut. Satu perkara yang diidamkan daripada dahulu lagi.
“Kini saya mampu untuk berlari sejauh hampir sepuluh kilometer tanpa henti. Sesuatu yang sangat mustahil untuk dilakukan dahulu dan kini memberi kepuasan kepada saya.
“Sebab itu juga saya sekarang berusaha untuk membantu golongan yang mahu hidup sihat terutama yang memiliki fizikal besar,” jelasnya.
Sumber: Utusan Online
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW