Penyanyi dan komposer Ayai Ilusi, 54, mengakui kecewa apabila ada sesetengah pihak cuba melaga-lagakan dirinya dengan naib juara Akademi Fantasia 2015 Syamel.
Dalam satu laporan yang dikeluarkan sebuah portel hiburan hari ini, Ayai dikatakan mendedahkan Hidup Dalam Mati adalah lagu ‘ciplak’.
Menurut Ayai, selepas laporan itu menjadi viral di laman sosial, dia menerima pelbagai reaksi malah ada yang menyelarnya cuba menjatuhkan nama dan kerjaya Syamel.
“Saya sendiri terkejut apabila baca laporan yang mengatakan saya mendedahkan lagu Hidup Dalam Mati adalah karya ciplak sehingga ramai salah faham,” katanya.
Tambah Ayai atau nama sebenarnya Zaharuddin Kamaruddin, perkara itu sudah diselesaikan secara baik oleh pihaknya dengan DD Music Sdn Bhd milik Edry Abdul Halim selaku penerbit.
“Perkara ini sudah selesai beberapa bulan lalu namun apabila keluar laporan sebegini, ramai mula salah faham.
“Tujuan saya bercerita adalah untuk mengelakkan kekeliruan tetapi tak sangka pula ditulis seolah-olah saya buat pendedahan sekali gus menampakkan perkara ini sesuatu yang negatif.
“Saya tiada masalah dengan Syamel dan semuanya sudah diselesaikan secara baik. Syamel artis baru berbakat besar dan lagu itu juga berpotensi pergi jauh,” kata Ayai.
Sementara itu, penyanyi yang juga komposer lagu Hidup Dalam Mati, Syamel, 23, memohon semua pihak tidak memanjangkan isu ini.
“Saya dan Ayai baik-baik sahaja. Semalam pun pun kami ada bertemu dan dia sempat berpesan supaya saya buat yang terbaik bagi menaikkan lagu ini,” katanya.
Tambah Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, selepas ini dia akan lebih berhati-hati dalam menghasilkan lagu bagi mengelakkan isu sama berulang.
“Saya akan buat banyak kajian sebelum menghasilkan lagu baru. Tidak mustahil ada lagu yang mirip tetapi saya akan lebih peka,” katanya.
Lagu Hidup Dalam Mati pada awalnya adalah ciptaan Syamel, namun selepas diamati ada persamaan dengan lagu ciptaan Ayai yang berjudul Ku Kejar Bayangmu.
Namun perjanjian antara mereka sudah dimaterai sekali gus kedua-dua pihak akan mendapat faedah daripada lagu terbabit.
Sumber: Harian Metro
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW