Walaupun langkah memastikan calon pilihan raya presiden Singapura tahun depan adalah di kalangan Melayu disambut baik sebagai menggalakkan penyertaan semua kaum di republik itu, beberapa pemimpin masyarakat itu tidak mahu Melayu dilihat mengharapkan belas kasihan kuota.
Bekas wakil rakyat Zulkifli Baharudin, 57, berharap calon Melayu boleh bersaing secara terbuka dengan calon kaum lain, walaupun akur beberapa langkah perlu dilakukan bagi memastikan kepelbagaian.
“Pengundi perlu buta warna, dan bangsa tidak menjadi pertimbangan, tetapi kita belum di tahap itu lagi,” katanya dipetik The Straits Times (ST).
“Bagi saya, sistem ini tidak boleh kekal selama-lamanya. Dengan perkembangan dan perubahan dalam masyarakat, kita mesti menghapuskan pilihan raya yang dikhususkan. Saya pasti hari itu akan tiba.
“Dan sehingga Melayu boleh berdiri atas kaki sendiri tanpa bantuan, tanpa apa-apa aturan, kita belum lagi bersedia,” kata Zulkifli.
Semalam, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan di Parlimen Singapura pilihan raya presiden tahun depan akan dikhaskan untuk calon Melayu sahaja. Ia bakal menyaksikan presiden Melayu kedua Singapura selepas Yusof Ishak, yang menduduki jawatan itu untuk penggal 1965-1970.
Wajah Yusof, presiden pertama republik itu selepas berpisah daripada Malaysia, masih tertera di mata wang dolar Singapura. Beliau digantikan Dr Benjamin Sheares yang berbangsa serani, disusuli Devan Nair, Wee Kim Wee, Ong Teng Cheong, S.R. Nathan dan kini Tony Tan Keng Yam.
Jawatan presiden sekadar simbolik dan tidak mempunyai kuasa politik seperti perdana menteri, dan mula dipertandingkan sejak 1993.
Lee pertama kali menyeru agar presiden dari kalangan bukan Cina dilantik ketika menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan tahun ini. Idea tersebut memerlukan pindaan perlembagaan.
Naib pengerusi Persatuan Profesional Islam (AMP) Zhulkarnain Abdul Rahim tidak yakin ada calon layak di kalangan Melayu Singapura untuk jawatan presiden.
Bagaimanapun, beliau mengakui kepelbagaian latar belakang presiden Singapura, termasuk jantina, adalah penting.
“Sistem baharu ini akan menjamin seorang kanak-kanak yang membesar di Singapura, yang ke sekolah, ke khidmat kebangsaan kemudian ke alam pekerjaan, akan menyaksikan presiden dari pelbagai kaum,” katanya dipetik ST.
Bagi Liyana Mohamad, 26, mengkhususkan jawatan itu kepada Melayu merupakan sesuatu yang tidak adil.
“Walaupun kualiti calon ditekankan, anda masih menafikan hak calon layak dari komuniti lain demi memberi peluang kepada satu kaum.
“Saya tidak boleh menerimanya,” katanya.
Sumber: Free Malaysia Today
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW