Model MPV yang dikeluarkan mengikut perjanjian rebatch dengan Suzuki Motor Corporation, mengekalkan nama ‘Ertiga’ sama seperti yang dijual di India iaitu Maruti Suzuki Ertiga, manakala di Indonesia sebagai Suzuki Ertiga dan juga sebagai Mazda VX-1.

Model MPV ini memiliki enam tempat duduk, ditawarkan dalam dua va­rian iaitu transmisi manual Executive VVT 5MT dan transmisi automatik Executive VVT 4AT dan Executive Plus VVT 4 AT.

Dikategorikan dalam kelas kenderaan cekap tenaga (EEV), enjinnya memiliki kuasa maksimum 68 kW pada 6,000 rev per minit (rpm) manakala kuasa kilasnya ialah 130 Newton meter pada 4,000 rpm. Tangki penuhnya ialah 45 liter.

Enjin Ertiga adalah daripada versi K-series 1.4 liter petrol manakala platform badannya adalah daripada model Suzuki Swift.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Mohd. Kenali ketika ditemui semasa sesi pandu uji khas kepada wartawan pada Selasa lalu berkata, Ertiga ini adalah hasil perjanjian lesen yang dimeterai Proton dengan Suzuki pada 15 Jun 2015.

“Ertiga yang bermaksud ‘tiga barisan’ mendapat sambutan baik di Indonesia dan ini meya­kinkan kita model MPV segmen B ini akan mendapat sambutan serupa di Malaysia,” kata­nya.

Menurut­nya, reka bentuk Er­tiga yang kontempora­ri dengan ciri kese­lamatan banyak iaitu dua beg udara serta keselesaan, akan menjadi tarikan utama kepada pembeli.

Beliau enggan mendedahkan harga yang ditetapkan bagi kesemua varian Ertiga ini, dan hanya akan mengumumkannya pada Khamis depan.

Ertiga merupakan model keempat yang dilancarkan oleh Proton sepanjang tahun ini, bermula dengan Proton Perdana disusuli Proton Persona dan Proton Saga pada bulan lalu.