Guna minyak masak berulang boleh tingkatkan risiko sakit jantung – Pakar | Walaupun berhadapan kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak ketika ini, namun orang ramai diingatkan supaya tidak menggunakannya berulang kali bagi mengelakkan risiko kepada kesihatan jantung.
Pensyarah Program Sains Pemakanan, Pusat Pengajian Sains Jagaan Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Ruzita Abd. Talib berkata, minyak masak tidak sepatutnya digunakan untuk menggoreng lebih daripada sekali.
Menurut beliau, minyak masak akan bertukar menjadi lemak tepu apabila digunakan berulang kali yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan terutama menyebabkan saluran darah menjadi sempit.
“Apabila saluran darah tersumbat, maka besar kemungkinan seseorang individu itu akan menghadapi se rangan jantung, lebih-lebih lagi kepada mereka yang jarang melakukan aktiviti fizikal.
“Oleh yang demikian, orang ramai digesa untuk menggunakan minyak dalam kuantiti yang sedikit, dan seelok-eloknya dengan menukar kaedah masakan daripada menggoreng kepada kukus dan panggang yang dilihat lebih menyihatkan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Kekurangan bekalan minyak masak dilaporkan berlaku di seluruh negara sejak lebih seminggu lalu akibat tindakan segelintir peniaga menyorok bekalan di samping pembelian panik oleh orang ramai yang bimbang harga barangan keperluan itu akan naik berikutan penstrukturan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak berkuat kuasa Selasa lalu.
Menerusi penstrukturan itu, harga minyak masak botol dijual mengikut pasaran terbuka manakala harga minyak masak peket satu kilogram dijual pada harga subsidi RM2.50.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Sukan, Universiti Malaya (UM), Dr. Sareena Hanim Hamzah berkata, penggunaan lebih daripada sekali untuk menggoreng akan menjejaskan kualiti minyak masak.
“Orang ramai dinasihatkan menukar cara memasak dengan segera, selain bagus untuk kesihatan, langkah itu juga mampu mengelakkan daripada diserang sebarang penyakit kronik yang berpunca daripada makanan berminyak.
“Kaedah tersebut memang sedia ada dalam panduan pemakanan yang sihat dan mungkin inilah masa untuk kita mengamalkan pemakanan yang sihat,” jelasnya.
Sumber: Utusan
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW