Liku-liku yang dilalui Datuk Dr Juanda Jaya bukan sahaja selepas bergelar wakil rakyat Sarawak, malah bermula sejak di pejabat mufti Perlis.
Berdepan antara khidmat di negeri asalnya dan jawatan besar tersebut, bekas naib mufti Sarawak itu dihimpit dilema “ditelan mati emak dan diluah mati bapa”.
Panggilan untuk berkhidmat bukan boleh dibuat mendadak begitu sahaja, malah ia melibatkan Tun Abdul Taib Mahmud, waktu itu masih ketua menteri Sarawak.
“Semasa tahun kelima saya di Perlis lagi, saya sudah diminta ketua menteri ketika itu untuk balik ke Sarawak.
“Lebih setahun saya dan Taib memujuk Raja Perlis tetapi tuanku tidak berkenan. Pada masa itu sehingga ke saat akhir, tuanku sangat keberatan.
“Saya dianggap sebagai struktur yang tuanku tidak mahu lepas dari Perlis tetapi mengenangkan saya dipinjam [dari Sarawak] dan Perlis faham tentang kedudukan itu,” katanya.
Juanda, 44, kini Ahli Dewan Undangan Negeri Jemoreng, dilantik mufti Perlis pada hujung 2008 dan melepaskan jawatan tersebut pada 2014.
Menggantikan Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, jawatan yang dilepaskan itu dipulangkan semula kepada mufti popular itu setelah proses pujuk-memujuk yang penuh liku.
Wakil rakyat berkenaan dilaporkan bertegang dengan seorang menteri berhubung isu jambatan di kawasan pilihan rayanya yang gagal dibina sejak 14 tahun lalu sehingga menyusahkan rakyat.
Juanda berkata jambatan yang diumumkan di kawasan lain beberapa tahun lalu sudah siap tetapi penduduk di Igan masih tertunggu-tunggu nikmat pembangunan.
“Ada kawan tegur seolah-olah tidak sabar, ada yang kata, ‘masakan mufti tidak sabar?’ Kita tidak sabar dalam perkara ini sebab rakyat sudah lama sangat menunggu dan menderita.
“Kalau ada orang suruh kita sabar sampai 15, 20 tahun, saya ingat orang itu manusia yang terlalu hebat.
“Sabar sampai dibiarkan orang tanpa dapat mengecapi pembangunan yang sepatutnya mereka miliki,” katanya.
Bercakap kepada ProjekMMO, Juanda berkata bagi membolehkan beliau kembali ke Sarawak, maka seseorang perlu dicari bagi menggantikan jawatan mufti.
Katanya, calon yang paling sesuai tentunya Mohd Asri kerana pernah memegang jawatan itu antara November 2006 hingga November 2008.
Beliau dilaporkan meninggalkan jawatan tersebut susulan “masalah pentadbiran kerajaan negeri” dalam menyambung kontrak perkhidmatannya.
Menceritakan pengalamannya ingin meninggalkan Perlis, Juanda berkata: “Selepas enam tahun saya berkhidmat, tuanku perkenan.
“Saya boleh balik [Sarawak] dengan syarat, cari orang yang seperti saya. Nak cari macam mana? Saya pun terfikir orang lama.
“Asri pada mula enggan untuk kembali semula. Ia bukan satu keputusan yang mudah.
“Saya pujuk beliau dan tuanku pun menurunkan titahnya maka kerana kasih kepada tuanku, titah ini pun dituruti atas kebaikan orang ramai.”
Juanda mengakui bukan mudah seorang mufti untuk bertanding dalam pilihan raya kerana terpaksa berada di pentas berbeza.
Katanya, atas hasrat membangunkan negeri tumpah darahnya, maka cadangan pemimpin Sarawak agar beliau menceburi bidang politik dipersetujuinya.
“Taib naik jadi yang dipertua negeri. [Tan Sri] Adenan [Satem] pula jadi ketua menteri. Mereka minta saya masuk politik.
“Malah ketika diumumkan ketua menteri, saya tidak bersetuju sehingga saya dipanggil Taib.
“Beliau berkata ini satu khidmat kepada rakyat dan saya harus belajar. Adenan pula minta kami sama-sama bangunkan negeri atas kapasiti masing-masing,” kata Juanda lagi.
Bekas sarjana tamu Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford ini menjadi calon Barisan Nasional, melalui Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), pada pilihan raya negeri, Mei lalu.
Anak jati Kampung Igan ini menewaskan dua pencabarnya Kiprawi Suhaili (Amanah) dan Abdullah Saminan (Bebas) dengan majoriti 3,789 undi.
Sumber: Projek MMO
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW