Jangan main bangsawan,” ringkas Datuk Ramli MS menyimpulkan prahara yang dicetuskan beliau hujung minggu lalu. Bagi pengikut setia program realiti Gegar Vaganza, figura berusia 58 tahun itu telah mencetuskan gunung berapi yang laharnya masih membara apabila menggunakan perkataan ‘ihsan’ terhadap persembahan Elly Mazlein.
Baca: Video: Komen belas ihsan Ramli MS buat Elly Mazlein menangis
Selain mencatat markah terendah sekali gus tersingkir, Elly mengaku, dia berkecil hati dan menarik diri daripada program tersebut kerana kritikan Ramli MS. Oleh kerana kritikan yang disifatkan segelintir pihak sebagai tidak sensitif serta mengaibkan itu, Ramli MS yang juga dipanggil Tok Ram menerima habuannya. Beliau diserang hebat oleh pengguna laman sosial dan peminat Elly, sehingga digesa meminta maaf di atas keterlanjuran kritikannya.
Saat diasak mengenai isu tersebut, Ramli MS hanya tersenyum. Beliau memilih untuk tidak menjawab atau cuba menjadi defensif.
Bagaimanapun Ramli MS masih terus mengulangi tiga kata keramat yang dilontarkan pada awal pertemuan kami: “Jangan main bangsawan.”
Ada relevannya Ramli MS bertindak bungkam dan tidak melayan perkara yang disifatkannya sebagai tiada isu. Sebagai seorang meastro seni yang sudah 43 tahun berkecimpung dengan dunia hiburan tanah air, beliau bukan sekadar seorang juri yang berbicara seperti tin kosong.
Merupakan seorang konduktor seni, pengarah muzik malah membantu menerbitkan banyak album penyanyi terkenal tanah air sejak tahun 80-an, perihal melodi, lagu dan teknik nyanyian adalah ‘makanannya’.
Sebagai individu penting belakang tabir dunia hiburan yang cukup disegani kerana kredibilitinya, beliau tahu apa yang dilakukan baik dari segi teori ataupun praktikal.
Menyelak semula profil komersialnya di kaca televisyen, seawal tahun 2004, pemilik nama sebenar Ramli Mohamed Salleh itu telah menarik perhatian penonton apabila menjadi pengetua Akademi Fantasia yang terkenal sebagai cukup bengis serta menjengkelkan.
Ketegasannya mendidik bakat baharu menjadikan Ramli MS satu jenama besar dengan karismanya.
Tinggal lagi, generasi masa kini barangkali baru mengenali dan belum dapat menghadam kritikannya yang disifatkan berunsur ‘puaka’ sejak mengikuti Gegar Vaganza (GV) tiga tahun kebekalangan ini.
Justeru, sebagai khalayak yang hanya mengetahui Ramli MS memegang status juri dalam kebanyakan program realiti tempatan, butir bicara yang dimuntahkan beliau adalah satu racun yang membunuh para peserta.
“Beginilah, setiap kali seseorang peserta mula memegang mikrofon dan menyanyi, itu adalah satu bisnes yang serius buat saya. Bunyi tidak pernah menipu. Sebab itu saya katakan, di atas pentas seperti Gegar Vaganza, jangan main bangsawan dengan saya. Apabila saya katakan seseorang peserta itu tidak bagus, itu bermaksud tidak bagus dalam liganya sendiri.
“Bukan saya bandingkan dengan pendatang baharu misalnya, kerana penyanyi lama sudah ada ilmu dan roh dalam nyanyian mereka. Jadi sebagai seorang penyanyi lama, mereka tidak lagi boleh masuk dalam zon melakukan kesilapan teknikal kerana itu sudah menjadi makanan mereka,” ujar Ramli MS memecahkan bicara.
Tambahnya yang juga merupakan ‘kepala’ bagi kebanyakan anugerah berprestij dalam negara sejak lebih 10 tahun lalu, apabila beliau membuat penjurian dalam program nyanyian, hal yang diberi keutamaan adalah vokal dan kreativiti penyanyi memecahkan kepompong selesa mereka.
Beliau tidak boleh prejudis atau meletakkan dirinya dalam dua kategori yang selalu membuat khalayak kurang rasional.
Katanya: “Khalayak perlu faham. Saya melakukan penjurian terhadap lagu yang menjadi hierarki paling tinggi dalam sesebuah pertandingan kerana lagu mampu bertahan beribu tahun. Saya perlu memberi fokus terhadap vokal.
“Saya tidak nafikan, suara adalah anugerah Tuhan, tetapi apa yang saya cari adalah bagaimana seseorang penyanyi meletuskan sensasi dalam setiap persembahan mereka dengan skil atau kreativiti yang membezakan mereka berbanding penyanyi asal.
“Saya tidak boleh prejudis atau duduk dalam kelompok khalayak yang menilai penyanyi kerana dua perkara iaitu minat kepada personaliti penyanyi dan minat lagu yang disampaikan penyanyi. Hal ini kerana apa yang saya cari adalah intelektual yang digunakan penyanyi setiap kali beraksi.”
Mulut puaka
Diajak berbicara mengenai permainan dunia program realiti dan bagaimana khalayak perlu menerimanya dengan realistik, Ramli MS memberitahu, setiap program yang diwujudkan mempunyai sasaran bisnes dan rating yang perlu dicapai. Untuk memenuhi dua piawaian tersebut, content atau pengisian adalah resipinya.
Formula tersebut turut diguna pakai dalam GV. Namun, beliau menafikan dirinya dimanipulasi sebagai salah satu pengisian untuk meraih rating tinggi atau memastikan bisnes program tersebut stabil.
“Saya bukan orang yang boleh dibentuk atau diberi arahan untuk menjadikan pengisian program lebih menarik. Perlakuan atau bicara yang saya lakukan adalah secara semula jadi.
“Tapi sebagai seorang yang telah lama dalam dunia program realiti televisyen, saya tahu apa yang produksi mahukan dan saya tahu had saya untuk memastikan pengisian menarik,” ujar Ramli MS yang mengakui usikan antara dirinya dengan dua hos GV iaitu Nabil dan Jihan adalah sebahagian daripada pengisian yang terjadi secara semula jadi sejak musim pertama kerana kesefahaman mereka.
Sengaja diusik mengenai kelancangan atau istilah ‘mulut puaka’ yang dilabelkan kepada dirinya sejak sekian lama menjadi juri dalam pelbagai program, Ramli MS hanya ketawa.
Adakah beliau terkesan dengan label sedemikian yang secara jelas membenci dirinya?
Sambil membetulkan duduknya, tajam mata beliau memandang saya sebelum memulakan bicara.
“Beginilah, saya seorang yang berterus terang. Saya tidak cakap belakang atau suka memberi kiasan. Saya tidak pandai. Saya akan cakap telus apa yang saya mahu cakap. Tetapi bagaimana seseorang itu mengambil kata-kata saya secara positif atau sebaliknya.
“Sudah lama saya menjadi juri atau melakukan tanggungjawab mengkritik. Tetapi saya juga mahu tanya, adakah pernah kritikan saya yang dikatakan tidak sensitif atau mengaibkan seseorang sehingga membunuh karier mereka? Tanya kepada para peserta, apakah pelajaran yang mereka peroleh jika mengambil kritikan saya secara positif?
“Saya tidak boleh mengubah pemikiran seseorang yang mahu menjadikannya negatif, walhal apa yang saya lontarkan adalah satu hal positif yang perlu diambil untuk mempertingkatkan diri kerana pada akhirnya, ilmu itu adalah untuk mereka, bukan untuk saya,” ujarnya yang mengaku sudah banyak bertoleransi atau mengurangkan kadar ‘mulut puakanya’ berbanding 12 tahun lalu.
Tambahnya lagi, jika beliau memasukkan unsur prejudis dalam penjurian, para peserta tidak akan mendengar sebarang kritikan atau komen daripadanya.
“Sebab saya adalah orang yang jika saya betul-betul tidak suka, saya akan diam. Jadi kalau khalayak mahu menilai sama ada saya sedang melakukan penjurian dengan emosi bukannya profesional, perhatikan apabila saya tidak punya sebarang komen untuk dikongsi,” kongsi pelaku seni kelahiran Singapura ini.
Malah sewaktu ditanya adakah beliau mempunyai masalah sekiranya pihak produksi GV mahu mengembalikan Elly bersaing dalam program tersebut sebagai sebuah pengisian sensasi pada masa akan datang, pantas beliau menggeleng kepala.
Katanya tegas: “Saya langsung tidak ada masalah kerana tetap akan menjalankan tugas yang sama. Bukan saja Elly, kalau produksi mahu memasukkan semula Zul Handy Black (peserta musim kedua GV) pun, saya tidak ada masalah.”
Serangan Instagram
|
Beralih bicara kepada dirinya yang kini memiliki Instagram sejak 5 Oktober lalu, laman media sosial tersebut telah menjadi platform buat pembencinya meninggalkan pelbagai kata-kata yang menjengkelkan gara-gara kritikannya terhadap Elly.
Sedar mengenai situasi tersebut, tegas Ramli MS beliau tidak bercadang untuk membalas apa lagi menutup Instagram dengan nama tokram_ramlims itu hanya kerana diserang dan dicaci.
Tidak ada apa yang perlu ditakutkan. Sementelah beliau menyifatkan apa yang dilakukan gerombolan pembenci itu sebagai fitrah manusia.
“Biarlah, orang mahu meninggalkan kata-kata yang menjengkelkan atau apa saja di situ, saya tidak ambil peduli. Saya anggap itu sebagai fitrah manusia, jadi Instagram tersebut akan kekal,” katanya.
Ditanya mengapa setelah sekian lama baru beliau memiliki akaun peribadinya sendiri, ujar Ramli MS, ia diwujudkan kerana beliau mahu memulakan perniagaan rempah makanan yang dihasilkan daripada air tangan ibunya.
Bagaimanapun, kini ia masih dalam proses percubaan dan apabila bersedia, perniagaan tersebut akan dimulakan menerusi jenamanya sendiri, sekali gus beliau memerlukan Instagram sebagai medium paling pantas menyalurkan informasi dan bisnes yang diusahakan berkembang.
Masih bergulir bicara tentang Instagram tetapi kali ini menyentuh tentang isterinya, Alyah yang turut terkena tempias kemarahan serta kebencian khalayak kerana ‘mulut puakanya’, Ramli MS memberitahu, tidak mahu mencampuradukkan antara kisah rumah tangga dan profesionalismenya dalam bekerja.
“Apa yang diluahkan Alyah kerana diserang peminat atau apa sahaja, saya tidak campur.
“Jika beliau mahu bertindak ke peringkat undang-undang, saya juga tidak akan menolong untuk membayar atau mendapatkan khidmat peguam buatnya.
“Ini kerana ia adalah berkaitan karier saya, bukan soal rumah tangga yang boleh dicampuradukkan,” katanya menutup bicara.
Sumber: Kosmo
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW