Soalnya ini bukan kali pertama kisah yang sama dibangkitkan. Sebelum ini juga pernah kedengaran, tetapi sudah dinafikan Nora Danish. Sebenarnya bukan sesuatu yang mustahil kalau kita fikirkan untuk Nora berkahwin secara rahsia. Ini kerana, sebagai manusia biasa dia juga punya hak untuk diri sendiri. Namun atas kewajaran bertindak matang, bukan itu yang akan menjadi pilihan ibu tunggal beranak satu ini. Bagi Nora, perkahwinan adalah suatu perkara yang baik dan jika sudah sampai waktunya nanti, dia sendiri akan berkongsi kisah molek ini.

Dalam buat pendedahan terbaharu Mega HITS beberapa hari lalu, kisah pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mendekati golongan artis dan selebriti nampaknya turut mendapat perhatian. Dalam sesi soal jawab dengan Mega HITS, ternyata Nora bukan sekadar kaya dengan hasil seninya, tetapi juga semakin bijaksana dalam perniagaan.

MEGA HITS: Khabar baharu lagi, kononnya cerita Nora sudah berkahwin di luar negara itu adalah benar. Boleh jelaskan?

NORA DANISH: Oh, tidak! Ia langsung tidak benar sama sekali. Bagi saya perkahwinan adalah perkara yang baik. Jadi, saya tidak lihat kenapa perlu untuk disorokkan berita itu andainya benar saya sudah jadi isteri orang semula. Tolonglah jangan percaya.

Apa buktinya Nora masih belum kahwin?

Sekarang kan kita boleh periksa status seseorang itu di pejabat agama. Pergi saja ke bahagian pendaftaran perkahwinan, periksa di situ. Jangan risaulah. Jika perkara ini betul, saya sendiri akan kongsi juga dengan semua orang. Benda baik, kita takkan sorok pun.

Dulu pernah ada berita kata akan berkahwin tahun ini. Sekarang, kurang dua bulan nak masuk ke 2017. Jadi, boleh dikatakan, bukan tahun ini status Nora akan berubah?

Sudah saya katakan sebelum ini, benda itu akan berlaku bukan tahun ini. Bila saya akan berkahwin? Maaflah, saya sendiri tidak boleh kongsi. Kita tunggu sahaja nanti, tidak berani saya mahu berkata apa-apa lagi buat masa ini. Bagi saya dalam keadaan sekarang, di mana sahaja lokasi pernikahan tidak penting asalkan sah sahaja, itu sudah cukup.

Jadi, ini maknanya tahun depan akan ada cerita menarik itu?

Tidak! Tidak! Saya tidak boleh sah kan apa-apa buat masa ini. Saya harap semua akan faham.

Hubungan dengan kekasih, Nedim Nazri pula bagaimana? Apakah masih okey?

Alhamdulillah semuanya masih berlangsung dengan baik. Insya-Allah. Kami masih macam biasa.

Okey, ada baca kisah ramai artis sekarang ‘dikejar’ oleh LHDN, Nora bagaimana?

Hmmm, dikejar itu tidaklah. Tetapi memang saya ada baca cerita ini. Ada beberapa artis sedang dalam masalah, kita tahu juga.

Sebagai antara artis yang berjaya dalam bidang lakonan dan perniagaan, ketika ini juga ramai artis sedang ‘dikejar’ oleh LHDN Nora bukan salah seorang daripadanya?

Macam saya cakap, dikejar itu tidaklah. Sebab saya membayar cukai pada waktu yang sudah ditetapkan. Bagi saya jumlah yang perlu dibayar tidaklah terlalu mengejutkan. Ini memandangkan saya sudah membayar sejak dari awal, 
setiap tahun, jadi ia masih dalam jumlah yang okey sebab tiada tunggakan.

Ada juga artis yang lari daripada cukai ya, bagaimana Nora melihat isu ini?

Bagi saya sebagai rakyat Malaysia memang ini adalah tanggungjawab kita. Cuma apa yang saya harap ada sedikit pelepasan buat selebriti macam kami ni.

Bukan apa, dalam waktu sekarang kami banyak mengeluarkan wang untuk penampilan diri. Jadi, ini adalah sebahagian daripada kerja dan ia barangkali boleh dimasukkan sebagai kos kerja bagi kami. Kalau boleh pihak LHDN pertimbangkan hal-hal sebegitu, ia akan lebih baik buat kami para artis dan selebriti lain yang amat bergantung kepada penampilan dan personaliti diri apabila muncul berhadapan dengan khalayak.

Khabarnya melebarkan sayap ke Indonesia, sudah bersedia untuk terus menempa nama di seberang?

Alhamdulillah dengan rezeki itu. Memang impian ibu saya juga untuk melihat saya berjaya di peringkat antarabangsa. Cuma berlakon sinetron itu tidak akan menjadi pilihan. Episod yang terlalu panjang saya tidak mungkin meninggalkan Malaysia dalam jangka waktu yang lama.