Muzik Video 'Menatap Dalam Mimpi' Dibuat Kembali

Muzik Video 'Menatap Dalam Mimpi' Dibuat Kembali

Datuk Siti Nurhaliza di sebalik pembikinan klip video 'Menatap Dalam Mimpi'.

Mulai 1 November lalu, peminat Datuk Siti Nurhaliza berpeluang menonton muzik video terbaharu diva tersohor itu berjudul Menatap Dalam Mimpi di laman YouTube. Selepas hampir dua minggu ditayangkan, muzik video arahan Nadiah Hamzah itu sudah pun ditonton lebih 22 ribu kali. Bukan satu angka yang luar biasa apatah lagi ia membabitkan penyanyi nombor satu negara seperti Siti.

Bagaimanapun, jika ada yang perasan, Siti pernah menghasilkan muzik video untuk lagu yang sama Ogos lalu. Dan apabila dicari kembali muzik video itu, ternyata ia sudah pun ditarik balik penyiarannya. Apabila tiba-tiba timbul cerita yang Siti bakal muncul dengan muzik video terbaharu untuk lagu ciptaan Aubrey Suwito dan lirik oleh Rozisangdewi ini, terasa ada sesuatu yang tak kena.

Enggan berteka-teki, Rojak Daily Kaw! cuba mendapatkan penjelasan Siti berhubung perkara itu. Tergelak besar penyanyi bersuara buluh perindu ini saat diajukan soalan itu kepadanya.  Menjelaskan keadaan sebenar, Siti mengakui video muzik itu memang ditarik balik penyiarannya atas faktor kualiti.

“Benar, muzik video itu sudah pun ditarik balik tidak sampai 12 jam penyiarannya. Sebagai penyanyi, Siti akan cuba memberikan yang terbaik kepada peminat. Apa saja yang Siti lakukan, maklum balas mereka memang amat diharapkan. Dalam soal kualiti, Siti memang tidak akan berkompromi. 

“Begitupun, bukanlah Siti terlalu kecewa dengan hasilnya. Cuma, seperti apa yang dikatakan tadi, Siti memang mengharapkan hasil yang terbaik.

Baru seminggu lebih ditayangkan, tontonan muzik video sudah mencecah 22 ribu kali.

“Namun begitu, Siti tidak mahu menuding jari pada sesiapa. Mungkin mereka (produksi) sudah memberikan yang terbaik dan mungkin juga itulah hasil terbaik yang boleh mereka berikan,”tuturnya berlapik.

Menurut penyanyi berusia 37 tahun ini, sebagai ganti, beliau sudah pun menjalani penggambaran untuk pembikinan semula video muzik lagu berkenaan.

“Video yang dirakam ini memang berbeza dengan yang produk sebelumnya, termasuk jalan cerita. Produksi yang membuat video ini juga bukan orang sama. Siti berharap peminat akan menyukainya,”katanya sambil tersenyum.

Ketika dirinya sibuk dengan pelbagai aktiviti selain persiapan untuk holiday ke luar negara untuk penggambaran sebuah program realiti berbentuk percutian bersama keluarga tersayang, si penyanyi lagu Biarlah Rahsia ini sempat mencari material untuk rakaman album terbaru.
 
Uniknya, urusan mencari karya berkenaan diperluaskan apabila Siti meminta bantuan Aubrey bagi menguar-uarkan berita terbabit di laman sosial miliknya.

Pembikinan muzik video terbaru membabitkan produksi dan jalan cerita yang berbeza.

Mengulas perkara itu, isteri kepada tokoh korporat, Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa ini berkata, tujuan beliau berbuat demikian kerana ingin mencari kepelbagaian dalam album terbaharunya.

“Siti sudah lama mengenali Aubrey dan Siti percaya dengan cita rasa dan hasil kerjanya. Berikutan itu Siti meminta bantuannya untuk mencari lagu sesuai, yang boleh dimuatkan dalam album baharu Siti nanti.

“Apabila Siti memberikan ruang sebegini, ia bermakna Siti bersikap terbuka untuk menerima apa saja lagu yang difikirkan sesuai. Siti juga terbuka untuk bekerja dengan mana-mana komposer, sama ada dikenali atau tidak, tidak kiralah mereka ada pengalaman atau sebaliknya. Jika lagunya sesuai, Siti tetap akan merakamkannya.”



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post