Itu tegas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah yang memaklumkan bahawa Exco Kafa menolak surat perletakan jawatan Annuar yang dihantar pada 8 November lalu.

Afandi menegaskan keputusan itu dipersetujui bersama tujuh ahli Exco Kafa yang mengadakan mesyuarat tergempar di sini, hari ini.

Tambah Afandi, Kafa masih memerlukan khidmat Annuar sebagai Presiden bagi memperkasakan bola sepak Kelantan.

“Kami akan mengadakan perjumpaan dengan beliau (Annuar) dalam minggu ini juga bagi memintanya memper­timbangkan semula perletakkan jawatan tersebut.

“Buat masa ini Tan Sri Annuar masih kekal sebagai Presiden Kafa hingga tamat penggal 2018,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Kafa di sini, hari ini.

Pada Selasa, Annuar mengumumkan melepaskan jawatan Presiden Kafa berkuat kuasa serta merta.

Surat perletakan jawatannya telah dihantar kepada Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md. Noor dan salinannya turut dimuat naik ke dalam akaun Facebook rasmi beliau.

Sementara itu, ditanya adakah Kafa sudah mempunyai calon pengganti Annuar sekiranya beliau tetap dengan pendirian berundur, Afandi menjawab: “Kami tidak membincangkan perkara tersebut (calon pengganti) kerana memikirkan Annuar masih lagi sesuai kekal sebagai Presiden Kafa.

“Malah kami juga tidak pasti mengapa beliau membuat keputusan tersebut (meletakkan jawatan).”