Seramai 14 orang awam cedera semalam akibat serangan roket dilancarkan pemberontak Houthi Yaman ke Arab Saudi, lapor pertahanan awam Arab Saudi, terbaharu dalam siri serangan merentasi sempadan oleh sekutu Iran itu.
Agensi berita tempatan SPA memetik seorang jurucakap pertahanan awam sebagai berkata, 13 rakyat Arab Saudi dan seorang ekspatriat dari Bangladesh cedera dalam serangan di wilayah Dhahran al-Janoub di rantau Asir, berhampiran sempadan dengan Yaman.
“Mangsa mengalami pelbagai kecederaan dan dibawa ke hospital untuk rawatan,” kata agensi memetik jurucakap pertahanan awam, Kolonel Mohammed al-Assemi.
Tiga rumah turut rosak dalam serangan itu.
Arab Saudi mengetuai pakatan negara Arab cuba memulihkan kuasa Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi yang disingkir pemberontak Houthi sekutu Iran tahun lalu. Pertempuran itu mengorbankan lebih 10,000 orang di Yaman dan ratusan lain di Arab Saudi.
Pemberontak Houthi kerap melepaskan roket menyeberangi sempadan ke dalam Arab Saudi dalam apa yang dikatakan tindak balas terhadap serangan udara negara itu di Yaman, sering mengakibatkan kematian orang awam. – Reuters
Sumber: BH Online
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW