Suri rumah trauma dikecam lepas viralkan video penumpang LRT yang tak mahu berinya tempat duduk

Suri rumah trauma dikecam lepas viralkan video penumpang LRT yang tak mahu berinya tempat duduk | Seorang suri rumah yang juga peniaga sambilan kini trauma selepas dia memuat naik video pengguna Transit Aliran Ringan (LRT) yang enggan memberikannya tempat duduk ketika mendukung bayi perempuannya berusia 11 bulan di Facebook (FB)nya.

Nuraliza Ramli, 26, berkata, perasaan itu timbul selepas ada netizen di media sosial mengutuk tindakannya itu dan menganggap dia sengaja meraih publisiti untuk melariskan perniagaan sambilan yang diusahakannya.

 

“Saya kini bimbang dengan keselamatan saya selepas video yang saya muat naik itu viral dan bermacam-macam tanggapan diberikan terhadap saya.

“Sekarang ini saya teragak-agak adakah tindakan saya itu betul kerana ada yang komen bagus kerana boleh beri pengajaran tetapi tak kurang juga yang kecam saya.

“Ada juga yang kata saya perlu menegur mereka dahulu sebelum rakam dan viralkan. Jadi terdetik di hati saya, ada benarnya juga,” katanya ketika dihubungi petang tadi.

Video yang dirakam Nuraliza ketika dia dalam perjalanan menaiki pengangkutan awam itu dari stesen Wangsa Maju ke stesen KLCC pada 11 pagi semalam viral sehingga dikongsi pengguna FB dan beberapa blog.

Dia yang membuka perniagaan khidmat cucian secara sambilan ketika itu mendukung anak perempuan berusia 11 bulan bersama anak lelaki berusia 4 tahun.

Dia bagaimanapun sudah memadam video berkenaan daripada FB miliknya kerana rasa trauma dan turut menerima mesej daripada seorang individu menasihatinya untuk berbuat demikian.

“Sebenarnya setiap kali masuk ke dalam tren, saya sebenarnya tidak terfikir langsung untuk duduk kerana saya tahu mungkin ada orang lain yang lebih memerlukan.

“Tetapi saya benar-benar terkilan dengan sikap rakyat Malaysia yang tidak ambil peduli dengan perkara-perkara sebegini.

“Sekurang-kurangnya, tataplah mata saya sebagai tanda silaturrahim walaupun tidak berniat untuk memberikan tempat duduk. Itu lebih baik daripada bersikap mementingkan diri sendiri,” katanya yang menetap di Setapak.

Nuraliza berkata dia kini takut untuk keluar rumah dan menaiki pengangkutan awam itu lagi kerana bimbang di kecam orang ramai.

Sumber: Metro



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post