Walau dikecam kuat berdrama, Kak Lina Pom Pom tetap hormat Ogy Ahmad Daud | Perasaan hormat penyanyi Elly Mazlein tidak pernah luntur terhadap Datuk Fauziah Ahmad Daud, biarpun dia pernah dituduh oleh pengarah itu sebagai artis “suka main wayang”.
Biarpun kata-kata Fauziah dianggap sebagai satu serangan peribadi, Elly berasa dirinya perlu berusaha menangani perkara berkenaan kerana langkah itu dirasakan terbaik.
Sejujurnya bekas peserta program Gegar Vaganza 3 (GV3) itu berkata, tindakan Fauziah menerusi akaun Instagram miliknya baru-baru ini tidak mewajarkannya untuk membenci wanita yang berpangkat lebih senior darinya itu.
“Saya menghormati Kak Ogy (gelaran untuk Fauziah) kerana dia seorang artis yang jauh lebih berpengalaman dalam industri.
“Malah saya adalah antara ribuan peminat kak Ogy yang meminati lakonannya menerusi (filem) Azura,” katanya.
Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36, ditemui pada sidang media memperkenalkan duta dan produk Neng Geulis di Kuala Lumpur hari ini.
Fauziah – pengarah dan pelakon – pula melemparkan komen ‘pedas’ terhadap Elly yang menarik diri dari meneruskan pertandingan di GV3 dua minggu lalu.
Elly atau lebih mesra disapa Kak Lina Pom Pom pada ketika itu didakwa menarik diri kerana tidak tahan dengan komen juri tetap Datuk Ramli MS.
Pengunduran Elly itu pula dilakukan pada saat akhir sebelum senarai peserta yang layak ke peringkat seterusnya diumumkan.
Elly sebenarnya berasa terkilan kerana sebagai seorang yang lebih berusia, sewajarnya Fauziah bertindak bijak dengan menggunakan saluran lebih baik untuk membuat teguran.
“Bukannya saya tidak boleh ditegur, cuma ada cara lain selain media sosial misalnya dengan bersemuka. Saya juga bersedia seandainya kak Ogy berminat berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, mengenai GV3, Elly masih berteka-teki sama ada bakal meneruskan pembabitannya sebagai artis untuk program mingguan yang masih berlangsung itu.
Walaupun pernah mengeluarkan kenyataan tidak mahu bertanding lagi, Elly berkata dia akan mempertimbangkan keputusan berkenaan seandainya diberi diberi peluang berbuat demikian menerusi sistem imuniti milik penaja utama program berkenaan, Datuk Seri Vida.
“Tidak tahu hendak jawab bagaimana tetapi sebahagian besar peminat iaitu 90 peratus menginginkan saya menyertai semula program itu.
“Kalau ikutkan hati sekarang juga nak masuk semula dan perasaan itu kuat memandangkan ada pihak yang memandang rendah keupayaan saya.
“Tetapi perlu difikirkan semasak-masaknya dan seandainya ada juga yang mengecam kerana berpatah balik dalam membuat keputusan saya reda kerana sudah biasa menempuhi cabaran lebih hebat sebelum ini,” katanya.
Sumber: Malaysiakini
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW