Amal polisi tiada makanan luar, McDonald’s hanya benarkan kek hari jadi ada sijil halal masuk premis | McDonald’s Malaysia menjelaskan bahawa hanya kek sambutan hari jadi yang mempunyai sijil halal dibenarkan dibawa masuk ke restorannya di seluruh negara.
Menerusi kenyataan, ia berkata langkah itu “adalah selaras bagi memenuhi keperluan persijilan halal.”
“Di McDonald’s, aspek kualiti, keselamatan dan produk halal adalah keutamaan kami.
“Sebagai sebuah syarikat yang menawarkan produk yang disahkan halal, kita melaksanakan polisi ‘tiada makanan luar’ untuk memastikan bahawa semua produk yang dihidangkan dan dimakan di restoran kami adalah halal,” kata McDonald’s pada Khamis.
Syarikat itu berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mengenai notis yang diletakkan di restorannya mengenai polisi kek hari jadi halal yang boleh dibawa masuk ke dalam premis.
McDonald’s berkata mereka telah membuat pengecualian kepada polisi ‘tiada makanan luar’ dalam kes majlis hari jadi di McDonald’s.
Walau bagaimanapun, pelanggan yang ingin membawa kek hari jadi mereka sendiri perlu memastikan bahawa kek tersebut disahkan halal.
“Keadaan ini adalah penting untuk memelihara integriti pensijilan halal,” kata McDonald’s.
Sumber: Mstar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW