Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden FAS berkuat kuasa serta merta petang ini.
Sebelum ini turut berbuat demikian adalah Pengurus The Red Giants Amirudin Shari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan negeri.
Mohamed Azmin dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, beliau dan Amirudin mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama dengan FAS kerana organisasi dan pengurusannya tidak komited dengan agenda perubahan demi menjamin kegemilangan sukan itu di Selangor.
Beliau berkata, selepas dua tahun bersama FAS, mereka tidak melihat kesediaan Exco FAS untuk mendukung perubahan.
“Barisan Exco FAS sedia ada masih kekal dengan sikap dan budaya lama – politik yang berlebihan, cara lama dalam melakukan sesuatu, terlalu bergantung kepada mentaliti subsidi malah sehingga kini Exco gagal mengemukakan pelan strategik untuk pengurusan bola sepak negeri termasuk organisasi pentadbiran yang profesional sebagaimana yang disarankan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelang 2018.
“Exco FAS terus bergelumang dengan budaya politik yang tidak bertanggungjawab serta mengecewakan penyokong dan rakyat Selangor,” katanya.
Beliau berkata, bola sepak adalah sukan rakyat yang dapat memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat negeri itu.
Justeru katanya, kerajaan negeri akan memberikan sokongan dan dukungan kepada kemajuan sukan bola sepak Selangor melalui kaedah baru yang akan diputuskan kelak.
“Kami memberi jaminan kepada penyokong bola sepak Selangor bahawa kegemilangan sukan bola sepak akan dijulang melalui pengurusan yang bersih dan berintegriti,” katanya.
Sumber: Harian Metro
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW