Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi bersetuju dengan pendirian Malaysia dan turut mengecam sekeras-kerasnya kezaliman dan penindasan ke atas umat Islam Rohingya di Myanmar.
Menurut kenyataan rasmi Kesatuan Media Ulama Islam Sedunia cawangan Asia Tenggara malam tadi, Al-Qaradawi memuji sikap kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berani dan tegas menentang kezaliman itu.
Selain itu, beliau turut sependapat dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga naib presiden kesatuan itu, yang menyeru agar masyarakat antarabangsa mengambil pendekatan diplomasi lebih menyeluruh dan tegas untuk menghentikan penindasan yang sedang berlaku di Myanmar.
“Presiden (Al-Qaradawi) melahirkan rasa sedih kerana ia berlaku di hadapan penglihatan dan pendengaran masyarakat antarabangsa dan dunia Islam tanpa sebarang tindakan segera yang diambil,” menurut kesatuan itu.
Pada 4 Disember lepas, Najib selaku Presiden Umno dan Abdul Hadi, hadir dalam majlis Himpunan Solidariti Ummah menentang penghapusan etnik Rohingya di Kuala Lumpur.
Sewaktu berucap di himpunan itu, Najib mendesak negara komuniti Asean serta badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil tindakan dalam menghentikan kekejaman dan penindasan terhadap etnik berkenaan.
Dalam pada itu, Al-Qaradawi mengisytiharkan 16 Disember ini sebagai “Hari Membela Rakyat Rohingya.”
“Kami menyeru agar khatib di seluruh dunia membicarakan tentang bantahan ke atas kezaliman yang berlaku ke atas umat Islam Rohingya,” katanya. — Bernama
Sumber: Projek MMO
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW