Suasana di Pantai Tok Bali di sini petang ini pilu apabila ibu kepada salah seorang remaja yang hilang sejak tiga hari lalu dipapah ke gigi air untuk menyeru nama anaknya.
Dengan linangan air mata sambil tangannya menyentuh pasir dan air, S. Hazizan Othman, 43, menyeru nama anaknya, Ahmad Haziem Anizam, 14, berkali-kali dan memohon kepada Allah supaya mereka dipertemukan semula secepat yang mungkin.
“Haziem, baliklah Haziem. Mama tunggu Haziem, baliklah,” katanya berulang kali.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Hazizan berkata, dia pasrah dengan kejadian tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat yang bertungkus lumus untuk mencari anaknya.
“Sama-sama kita berdoa akan pencarian Ahmad Haziem dan rakannya dipermudahkan.
“Terima kasih kepada semua pihak yang mendirikan solat hajat yang diimamkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yacob malam tadi.
“Semoga Allah SWT perkenankan dan makbulkan doa kita semua. Sesungguhnya saya merindui Ahmad Haziem dan menerima hakikat kejadian yang berlaku,” katanya.
Kira-kira pukul 4.40 petang kelmarin, Ahmad Haziem dan rakannya Amir Azfar Rafa, 13, hilang selepas dihempas ombak besar sebelum dihanyutkan arus deras ketika mandi berhampiran benteng pemecah ombak di Pantai Tok Bali.
Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dua remaja yang hilang dihanyutkan deras di Pantai Tok Bali, dekat sini diteruskan pada pukul 7 pagi biarpun terpaksa berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu.
Sumber: Utusan Online
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW