Seorang wanita dikhuatiri hilang di Hospital Kuala Lumpur selepas keluar membeli Panadol pada 4 Disember lalu.
Marila Ahmad, 31, ketika itu sedang menjaga anaknya, Andi Ryan Aiman Abdullah, 9, di Wad Kanak-Kanak hospital berkenaan sebelum didapati tidak pulang selepas keluar membeli Panadol.
Suami mangsa, Zainol Yahaya, 56, berkata, kira-kira jam 10 pagi pada hari kejadian, anak tirinya dimasukkan ke wad berkenaan sebagai persediaan untuk menjalani pembedahan.
“Selesai urusan di wad, saya keluar untuk menyewa bilik di hotel berdekatan, sementara isteri berada di wad untuk menemani anaknya,” katanya.
Menurutnya, pada jam 4.30 petang,dia kembali ke wad dan terkejut apabila mendapati isterinya tiada di situ.
“Saya diberitahu oleh anak tiri yang ibunya sakit kepala dan keluar untuk membeli panadol pada jam 11 pagi namun tidak pulang sehingga sekarang.
“Saya sangat risaukan isteri memandangkan dia turut mempunyai masalah penglihatan akibat kerosakan mata kirinya,” katanya.
Zainol berkata, urusan pembedahan anak tirinya sudah selesai dan mereka telah pulang ke Kedah, namun isterinya masih belum dapat dikesan.
“Oleh itu, saya mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Kota Sarang Semut dan pegawai yang bertugas telah memaklumkan kepada Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.
“Keluarga mertua juga tidak mendapat sebarang berita mengenai isteri saya sejak dia dilaporkan hilang. Malah kami bimbang dengan keadaannya, kerana doktor pernah memaklumkan kerosakan matanya itu akan beri kesan kepada ingatan,” katanya.
Menurut Zainol, isterinya kali terakhir dilihat memakai baju hitam dan berkain hitam serta bercermin mata gelap.
“Saya yakin isteri masih berada di Kuala Lumpur. Saya merayu kepada sesiapa yang menjumpainya agar menghubungi saya di talian 010-7811658 atau bapa mertua , di talian 019-6263147,”katanya.
Sumber: Sinar Harian
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW