Promosi penerbit Upin dan Ipin: Jeng Jeng Jeng mengundang reaksi negatif apabila ramai peminat meluahkan rasa kecewa pada filem tersebut.
Video di Facebook rasmi Les’ Copaque dengan mesej “jom kita saksikan filem Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! yang sedang hangat ditayangkan di pawagam!” menjadi tempat meluahkan perasaan.
Tidak seperti mereka harapkan daripada filem Geng: Pengembaraan Bermula pada 2009, rata-rata pengguna media sosial itu kecewa apabila watak kembar itu tidak banyak ditampilkan.
Ada juga peminat yang menyokong filem tersebut, yang disertai animasi Upin dan Ipin, kerana memaparkan nilai-nilai murni kepada kanak-kanak.
Namun sebilangan mereka menganggap mesej filem itu, yang mengutip RM3 juta dalam tempoh empat hari tayangan sejak 24 November, sukar difahami kanak-kanak.
Coretan penerbit itu, yang dinaikkan 30 November lalu, kini mendapat kira-kira 240 ulasan pembaca dan dikongsi lebih 400 pengguna.
Berikut ulasan terpilih pembaca yang rata-ratanya meluahkan rasa kecewa mereka:
Shaiful Shahrim: Kasihan anak saya tengok Upin Ipin, sekejap ada sekejap tiada. Akhirnya tengok cerita kartun Upin Ipin di pawagam amat mengecewakan. Tidak berbaloi bawa anak-anak bawah lima tahun. Memang rasa tertipu dengan orang yang hendak kaut untung dengan cara ini.
PearJa D’ Luffy: Idea memang bagus sebab menggabungkan dunia sebenar dan kartun tetapi sepatutnya banyakkan lagi kemunculan Upin dan Ipin. Bukannya hanya 30 peratus atau kurang, sepatutnya Upin dan Ipin watak utama, bukan watak sampingan.
Mohd Rustam Johari: Baik tukar saja tajuk. Jangan hampakan kanak-kanak tetapi untuk kali ini, apa yang produksi Upin Ipin buat? Harapan setinggi gunung tetapi jauh lebih baik [filem dulu] Geng: Pengembaraan Bermula.
Haslina Che Ismail: Anak saya pun sama. Walaupun saya cuba positif tapi kasihan anak-anak. Asyik tanya Upin Ipin. Selepas ini mungkin produksi boleh keluarkan [filem] kartun Upin Ipin saja.
Amalina Widad: Baik tukar saja tajuk, jadi Aqis [watak Puteri Balqis] dan kawan-kawan, penampilan khas Upin Ipin. Hmm, saya baru sahaja menonton, tengok budak-budak kecil macam bosan saja, [watak] Upin Ipin pun ada sikit saja.
Shaqli Hazique Taz: [Markah] 2.5 bintang daripada 5 bintang. Kesesuaian filem ini mungkin [penonton] sekolah rendah ke atas. Dari segi pemasaran, [filem ini] berjaya kerana melibatkan animasi Upin Ipin walaupun sudah macam watak sampingan. Pengajaran untuk Les’ Copaque, berhati-hati lain kali kerana [filem] ini populariti Upin Ipin terjejas.
Rosemah Man: Rasa membazir sangat beli tiket, anak saya tahan setengah jam saja dalam panggung, sudah menjerit-jerit ajak keluar.
Nazwan Amdan: Upin Ipinlah sangat. Tajuk utama Upin Ipin tetapi Upin Ipin jadi watak sampingan.
Badariah Abdollah: Sudah tengok tetapi rasanya tajuk yang sesuai untuk filem ini Rumah Darul Makmur feat Upin Ipin sebab [penampilan] Upin Ipinnya sikit sangat.
Emmy Nadya: [Filem] ini gabungan animasi dan dunia sebenar. Untuk budak bawah lima tahun, rasanya tidak berapa sesuai, mungkin.
Nadieya Neddiey Nad: Cerita ini rasanya untuk budak lima tahun ke atas saja. Yang sebaya anak saya tidak pandai dan tidak faham pun jalan cerita ini. Mereka cuma hendak tengok Upin Ipin saja. Pelakon-pelakon lain mereka tidak kenal. Kasihanlah budak-budak.
Namun, ada juga sejumlah kecil peminat setia animasi tersebut masih menikmati filem tersebut walau bagaimana negatif tanggapan orang lain.
Nissa Anissa: Saya sudah besar pun suka layan cerita Upin Ipin. Terbaik, kelakarlah.
Mohd Anuar: Anak saya berumur 6 tahun dan 3 tahun seronok saja tengok. Saya tanya, mereka kata best. Siap ajak tengok lagi. Kira OK sahaja bagi saya.
Shrin Rinshi: Kalau baca ulasan, ramai yang kata tidak bagus sebab babak Upin & Ipin sikit sangat. Tetapi bagi budak-budak, janji ada Upin Ipin sudah cukup. Bagi saya, cerita ini tidak berat sangat walau ada Awie, Remy Ishak, Sara Ali dan lain-lain. Kalau layan betul-betul, cerita ini hendak terapkan semula nilai-nilai hidup dalam kehidupan sekarang.
Sumber: Projek MMO
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW