Kerajaan Negeri memberi jaminan gangguan bekalan air di beberapa kawasan yang bermula hari ini dapat diselesaikan sebelum sambutan Krimas, pada 25 Disember ini.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, satu mesyuarat khas membabitkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga Air Selangor akan diadakan bagi mengatasi masalah berkenaan.
Katanya, gangguan itu berpunca daripada kerja penyelenggaraan TNB di Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Badong, Kuala Selangor yang juga di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri.
“Kita memahami tugas TNB kerana ada isu teknikal yang perlu diselesaikan, justeru kita akan adakan mesyuarat bagi melihat bagaimana masalah ini dapat diatasi segera.
“Dasar Kerajaan Negeri adalah bagi memastikan kerja ini tidak menyusahkan rakyat khususnya semasa cuti sekolah dan perayaan Krismas,” katanya selepas merasmikan Program Pengangkutan Awam Sekali Seminggu di Bangunan SUK, di sini.
Mohamed Azmin berkata, pihaknya tidak menjangka proses penyelenggaraan itu akan menyebabkan ganguan bekalan air sehingga enam hari dalam laporan awal yang diterimanya.
Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri mengarahkan tempoh itu dipendekkan secepat mungkin sebaik sahaja kerja penyelenggaraan selesai.
“TNB mempunyai alasan mengapa kerja penyelenggaran ini ditangguhkan kerana ketika itu musim peperiksaan juga pembinaan loji Langat 2.
“Tetapi sekarang ia tidak boleh ditangguhkan kerana kerja pembaikan akan lebih panjang dan mungkin berlarutan sehingga sebulan jika tiada tindakan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, genset yang disediakan di loji rawatan air tidak dapat menampung permintaan air ekoran kapasiti hanya 1000 juta liter sehari (MLD).
Kira-kira 3.89 juta pengguna di sekitar Lembah Klang mula menghadapi gangguan bekalan air ekoran kerja penyelenggaraan TNB.
Gangguan itu membabitkan 707,759 akaun di 814 kawasan di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum ini memaklumkan kerja penyelenggaraan TNB dan henti tugas berkenaan akan dilaksanakan selama 16 jam mulai jam 8 pagi.
Sumber: Selangorkini
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW