Seorang lelaki yang pengsan ketika beratur di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dibiarkan terbaring hingga mati tanpa sebarang bantuan kerana orang ramai enggan meninggalkan barisan untuk mengeluarkan wang.
Saksi berkata, Kallol Ray Chowdhuri berbaris di mesin ATM di Bandel dekat sini kelmarin sebelum dia rebah akibat serangan jantung.
Bagaimanapun, orang ramai yang berbaris panjang di mesin ATM berkenaan enggan membantu Chowdhuri, 53, dan hanya membiarkan lelaki itu terbaring.
Mereka hanya memerhatikan Chowdhuri mengerang kesakitan sambil memegang dadanya sebelum dia tidak sedarkan diri.
Saksi memberitahu, orang ramai enggan membantu Chowdhuri kerana tidak mahu keluar dari barisan kerana bimbang tidak dapat mengeluarkan wang.
“Tiada siapa yang mahu membantu lelaki itu atau membawanya ke hospital,” katanya.
Ujarnya, Chowdhuri dibiarkan terbaring selama 30 minit sebelum seorang pengawal keselamatan bank itu yang melihat keadaan mangsa membawanya ke hospital dengan menaiki teksi.
Bagaimanapun, apabila tiba di hospital doktor mengesahkan lelaki itu sudah lama meninggal dunia.
Isteri Chowdhuri berkata, doktor memberitahu suaminya mungkin boleh diselamatkan sekiranya dibawa segera ke hospital.
Ujarnya, dia kesal dengan sikap orang ramai yang terlalu mementingkan diri sendiri.
India ketika ini berdepan krisis wang tunai selepas kerajaan membuat penyahwangan wang kertas 500 rupee dan 1,000 rupee. – Agensi
Sumber: Harian Metro
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW