Pergilah Ke Kuala Kangsar Kalau Mahukan Ketenangan

Pergilah Ke Kuala Kangsar Kalau Mahukan Ketenangan

Gambar: Malaysia Gazette

Kalau dalam perjalanan dari selatan menuju ke utara, apa kata ambil masa sekejap untuk singgah ke bandar Diraja negeri Perak, Kuala Kangsar. Mungkin ia bukanlah destinasi pilihan ramai orang, namun suanasanya yang mendamaikan ini sebenarnya ada ketenangan yang anda cari. Berkesempatan melawat Kuala Kangsar baru-baru ini, kami senaraikan 10 tempat anda harus pergi jika berkesempatan ke bandar indah ini.
 

1)    Kampung Sayong

Gambar: Panoramio

Sayong sememangnya menjadi kampung yang agak popular di Kuala kangsar kerana terdapat pembuatan dan penjualan Labu Sayong di kampung ini. Di Sayong, anda boleh menyaksikan pembuatan labu sayong oleh penduduk kampung. Orang kampung sangat peramah dan mengalu-alukan kedatangan anda ke perusahaan mereka. Labu Sayong adalah sejenis tembikar tanah untuk kegunaan mengisi air. Air yang disimpan semalaman di dalam labu ini menjadi sejuk dan segar untuk diminum. Anda boleh menempah labu sayong mengikut spesifikasi yang anda mahu dan mereka akan terus membuatnya dan harga pun berpatutan.

2)    Istana Kenangan

Gambar: Cherry Blossom

Terletak bersebelahan dengan Istana Iskadariah adalah Istana Kenangan. Tetapi bagi warga kuala Kangsar, ia lebih dikenali dengan nama Istana Kuning berikutan warna keseluruhan istana adalah warna rasmi negeri Perak iaitu kuning, hitam dan putih. Uniknya istana ini, ia dibina tanpa menggunakan paku langsung. Ia diperbuat daripada kayu dan anyaman bertam berbentuk kelarai. Atap istana pula menggunakan kayu berlian yang kalis air. Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk memasuki istana ini. Kini ia menempatkan pakaian, peralatan dan perabut Diraja. 
 

3)    MCKK

Gambar: Malaysia Gazette
 

Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) merupakan sebuah sekolah berprestij di Malaysia. Pada asalnya, ia merupakan sekolah untuk keluarga dan kerabat Diraja, bangsawan serta golongan ternama tetapi kini sekolah itu dibuka untuk pelajar lelaki melayu seluruh Malaysia yang cemerlang. Banyak nama-nama besar yang lahir dari sekolah ini antaranya Tun Abdul Razak, Tun Hanif Omar, Datuk Seri Nazri Aziz, Datuk Seri Hishamuddin Hussien, Tan Sri Hassan Merican, Datuk Dr Haji Fadzilah Kamsah dan juga Rafizi Ramli. Sekolah MCKK cukup terkenal dengan sukan ragbi dan menjadi antara sekolah yang digeruni. 


4)    Jambatan Victoria

Gambar: Tripadvisor

Jambatan ini terletak di Karai, 20 minit dari pekan Kuala Kangsar. Dibina pada tahun 1900, jambatan ini antara yang tertua di Malaysia. Landasan keretapi di atas jambatan ini masih kukuh walaupun sudah lama tidak digunakan. Ada ruang bagi pejalan kaki dan motorsikal disediakan di tepi landasan ini. Jambatan kini popular di laman Instagram kerana sangat cantik untuk bergambar. 


5)    Sungai Perak

Gambar: Triposo

Sungai Perak mempunyai kepentingannya yang tersendiri bagi penduduk Kuala Kangsar. Anda boleh memilih untuk menyelusuri Sungai Perak dengan menaiki kereta menerusi Jambatan Iskandar Shah dan di jalanan tepi sungai ataupun menaiki bot. Jika menaiki bot, anda boleh menyeberang Sungai Perak ini dan menyaksikan keindahan flora dan faunanya yang masih terpelihara.  Jika berkesempatan, anda juga boleh berenang dan menancing ikan disini. 
 

6)    Kilang simen

Gambar: TecGates

Jika anda pernah menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di kawasan Tasek sebelum sampai ke Kuala Kangsar, anda boleh nampak kilang simen tersergam di tepi lebuhraya tersebut. Namun, jika anda masuk ke jalan lama, barulah nada boleh melihat keseluruhan kilang simen tersebut. Sebenarnya ada dua kilang simen gergasi di sekitar Kuala Kangsar. Satunya adalah Lafarge Cement dan satu lagi adalah YTL Cement. Berkesempatan lalu disini, kami hanya tengok dari luar sahaja. Orang luar dilarang masuk.
 

7)    Menara Jam

Gambar: Panoramio

Menara jam ini berdiri megah di tengah bulatan di pusat bandar Kuala Kangsar. Ia juga terletak di persisiran Sungai Perak yang sememangnya menjadi tumpuan pelancong untuk berhenti beristirehat. Di kawasan jam ini juga ada beberapa kedai menjual kraftangan.
 

8)    Pokok getah tertua

Gambar: Skycrapercity

Sumber utama negeri Perak satu ketika dahulu adalah bijih timah dan getah. Pokok getah pertama di bawa ke Tanah Melayu dari Brazil oleh Henry Nicholas Ridley telah ditaman di sini. Kini, pokok getah tertua ini telah berusia lebih 100 tahun dan masih berdiri teguh. Anda boleh datang melihat sendiri pokok ini di hadapan Pejabat Tanah Kuala Kangsar. 
 

9)    Persekitaran yang hijau

Gambar: Panoramio

Jika anda mengikuti jalan lama untuk masuk ke bandar Kuala kangsar, segalanya hijau di kiri dan kanan anda. Bandar Kuala Kangsar dikelilingi pokok-pokok rimbun menghijau yang membuatkan suasana di bandar ini sentiasa redup. Sekali-sekala, dengan keadaan kabus atau keadaan selepas hujan, membuatkan anda berasa seolah-oleh berada di kawasan tanah tinggi. Dari Manong, ke Sayong, ke pekan Kuala, ke Talang sehinggalah ke Karai, segalanya hijau dan mendamaikan.
 

10)    Makanan yang enak!

Gambar: Jannah Sharip

Dari laksa beras Kuala Kangsar membawa ke cendol Sungai Perak, semuanya enak apabila bercerita pasal makanan di Kuala Kangsar. Laksa memang terkenal di bandar Kuala Kangsar. Agaknya itulah ilham Mamat Khalid sewaktu dia mengarahkan filem Man Laksa yang berkisahkan penduduk kampung Talang, Kuala Kangsar. Di kawasan Lembah, anda boleh beli putu beras yang popular di Kuala Kangsar. Dah namanya pun terletak di kawasan sungai, pastinya ikan sungai mudah didapati di Kuala Kangsar. Jangan lupa nikmati gulai tempoyak ikan sungai yang boleh didapati di gerai-gerai tepi jalan di bandar Kuala Kangsar. 



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post