Rangkuman 2016: Munafik Pecah Rekod, Cendol Paling Corot

Rangkuman 2016: Munafik Pecah Rekod, Cendol Paling Corot

Filem Munafik dan Ola Bola berjaya mencatat sejarah perfileman tanah air dengan kutipan pecah panggung tertinggi melebihi RM15 juta. (Gambar: Skop Production & Astro Shaw)

Menghitung hari tahun 2016 bakal berakhir, sebanyak 44 filem tempatan sudah ditayangkan termasuk dua filem iaitu Interchange dan Desolusi masih berada di pawagam. Jumlah filem ini yang direkodkan Perbadanan Kamajuan Filem Nasional (FINAS) sebenarnya merosot dibandingkan 80 filem yang ditayangkan pada tahun lalu manakala tahun 2014 mencatatkan 81 filem.

Meskipun jumlah filem pada tahun ini tidak semeriah tahun sebelumnya, industri perfileman tempatan tetap membuktikan pencapaian membanggakan menerusi kutipan pecah panggung. Ini membuktikan filem tempatan masih mempunyai penonton yang mahu ke pawagam dan menyokong produk sendiri. 

Daripada jumlah 44 filem yang ditayangkan, hanya 10 filem dilabel sebagai sukses kerana meraih kutipan melebih RM1 juta. Berikut disenaraikan 10 filem iaitu lima filem yang meraih kutipan tertinggi dan lima filem dengan kutipan terendah.

Senarai lima filem dengan kutipan tertinggi:

1. Munafik  

Sentuhan pengarah muda, Syamsul Yusof sentiasa memberikan impak pada penonton dan menjadi naskhah yang ditunggu ramai. Bermula dengan filem Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dan Khurafat, Syamsul membuktikan hasil filem kelapannya menjadi pencapaian terbaik dalam karier seninya. Filem ini berjaya meraih kutipan pecah panggung tertinggi dalam sejarah filem Melayu sebanyak RM17 juta daripada jualan tiket. Menairknya, filem genre seram ini diangkat sebagai Filem Terbaik Nasional pada Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) dan Syamsul juga menang Pengarah Terbaik pada majlis anugerah sama sebelum ia ditayangkan ke Indonesia.

2. Ola Bola

Filem arahan Chiu Keng Guan terbitan Astro Shaw ini meraih kutipan sebanyak RM15.85 juta dalam tempoh 39 hari tayangan di 88 pawagam. Mengambil kisah pasukan bola sepak negara ketika bersaing dalam pusingan kelayakkan Sukan Olimpik pada tahun 1980, filem ini turut menang tiga anugerah pada FFM28 menerusi kategori Pereka Kostum/Busana Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Lagu Tema Asal Terbaik. Lebih bermakna, lagu tema filem ini iaitu "Arena Cahaya"  nyanyian Zee Avi menang anugerah Lagu Filem Asal Terbaik pada acara Festival Filem Golden Horse Awards ke-53.  

3. Boboiboy

Industri filem animasi tempatan sudah membuktikan karya yang diterbitkan semakin maju ke hadapan dan mampu bersaing dengan filem antarabangsa apabila filem seperti Boboiboy berjaya meraih perhatian penonton ke pawagam. Filem arahan Mohd Nizam Abd Razak ini mencatat kutipan jualan tiket sebanyak RM15.73 juta dengan 56 hari tayangan di 106 pawagam di seluruh negara. Kejayaan filem terbitan Animonsta Studios ini suatu yang membanggakan kerana jenama Boboiboy sendiri yang cukup popular dalam kalangan kanak-kanak di televisyen sebelum dibawa ke layar perak.

4. Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng

Seperti mana jenama Boboiboy, watak Upin & Ipin masih diminati ramai penonton kanak-kanak yang mahu menonton di pawagam apabila filem ini meraih sambutan menggalakkan ketika tayangan pada musim cuti sekolah. Menampilkan dua watak utama, Upin dan Ipin yang dijelmakan dalam dunia realiti dibantu pelakon popular seperti Awie dan Remy Ishak, filem ini berjaya mengaut kutipan sebanyak RM4.8 juta ketika ini dan ia masih lagi ditayangkan di beberapa lokasi.

5. Rock Bro! Kembali Ke Pangkal Jalan

Bagi peminat filem arahan Mamat Khalid, sekuel filem ini dinantikan ramai penonton yang mahu berhibur dengan jenaka yang disajikan. Kisah pengembaraan kumpulan Rimba Bara menjadi keistimewaan filem ini sehingga ia mencatat kutipan sebanyak RM4.66 juta. Sekuel ketiga kali ini berjaya mencapai sasaran RM4 juta yang diharapkan Mamat ketika ia mula siap.

Berikut lima filem tempatan dengan kutipan terendah:

1. Cendol: Kepada Allah Aku Berserah 

Mengambil pendekatan menyampaikan mesej keagamaan pada penonton, ia bukan jaminan untuk sesebuah filem itu diterima penonton. Selain pelbagai faktor yang perlu difikirkan dengan teliti seperti aspek olahan skrip, lakonan, barisan pelakon, pengarahan dan promosi, filem ini direkodkan sebagai kutipan paling rendah dengan hanya RM1,937. 

2. It's The Moment Yang Ariff

Jika ditanya pada ramai penonton, mungkin mereka tidak sedar bila filem arahan ST Bala ini ditayangkan di pawagam. Membawa genre thriller, filem lakonan utama Ross Hassan bersama Keena Mentor ini gagal meraih kepercayaan penonton ke pawagam apabila sekadar mencatat kutipan sebanyak RM4,678. Filem terbitan Fenomena Seni Produksi ini ditayangkan selama seminggu di 33 pawagam.

3. Mawar Putih

Berbeza dengan pencapaian pengarah filem ini, Datuk Rosnani Jamil ketika mengarah filem pertamanya berjudul Mawar Merah yang meraih pengiktirafan pada Festival Filem Malaysia pada tahun 1987, nasib filem terbarunya, Mawar Putih pula tidak seperti diharapkan. Pada usia emas mencecah 80 tahun, filemnya kali ini hanya meraih kutipan sebanyak RM5,947 selepas enam hari tayangan di 34 pawagam.

4. Radhi Rudy Bin Dadu

Tidak banyak maklumat mengenai filem arahan Arjin Uppal ini sebelum dan ketika ditayangkan di 36 pawagam selama seminggu. Filem terbitan White Merpati Entertainment ini meraih kutipan RM14,531.

5. Kastil Tua

Pelakon popular, Sabree Fadzil bersama Chiska Doppert bekerjasama mengarah filem baru iaitu Kastil Tua yang mengangkat genre seram dan penggembaraan. Bagaimanapun, karya terbitan FIMTAB ini masih belum cukup kuat untuk menarik perhatian peminat filem seram ke pawagam. Filem ini sekadar meraih kutipan sebanyak RM35,523.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post