Bila Zulin Aziz menulis tweet ‘angkat’ nikah dan bukan akad nikah, ramai sungguh netizen mengecamnya.
Tanpa usul periksa, Zulin digelar bodoh kerana dianggap melakukan kesilapan ejaan, bahkan fizikalnya juga diejek.
“Pada mulanya saya tidak marah, bahkan saya siap buat parodi lagi dengan mengatakan gara-gara tweet ‘angkat nikah’ yang ditulis menyebabkan satu dunia membuat panggilan kepada saya. Tetapi bila isu itu menjadi semakin teruk dan ada segelintir kutuk saya bodoh, malah fizikal saya turut dikritik dengan gelaran perempuan gemuk dan hodoh, selain mengaitkan emak dan bapa tidak hantar saya pergi sekolah, itu dikira sudah melampau,” ujarnya ketika dihubungi Sensasi Bintang.
Bukan tidak mampu menerima teguran, namun pelawak yang pandai bertutur dalam pelbagai bahasa itu menyifatkan, makian bertubi-tubi yang dilemparkan ibarat tikaman yang menusuk ke hatinya tanpa dapat dielak.
Hakikatnya, dia sengaja menulis ‘akad’ itu sebagai ‘angkat’ kerana ia sememangnya menjadi sebutannya sejak dahulu lagi.
“Saya pergi sekolah dan saya juga sudah mengacarakan banyak majlis kahwin. Jadi, sudah tentu saya tahu perkataan sebenar akad nikah. Disebabkan di kampung Pantai Remis, Perak. kami menyebut akad itu angkat, maka ketika menulis pun saya mengejanya begitu. Malangnya, tweet saya itu disalahertikan,” jelasnya yang sedih dengan sikap-sikap orang yang gemar mencari salah orang tanpa usul periksa.
Mengulas mengenai perkataan gemuk yang dilemparkan kepadanya biarpun beratnya sudah susut sebanyak 10 kilogram baru-baru ini, pemilik nama sebenar Farah Azleenda Abd. Aziz itu mengaku, dia tidak mampu memuaskan hati semua pihak yang tidak menyukainya.
“Kalau saya kurus pun belum tentu mereka berhenti menghina saya. Kita bukan boleh puaskan hati semua orang dan ada sahaja yang tidak kena di mata mereka.
“Pada saya, mereka (netizen yang mengutuknya) ini mungkin ada banyak masa terluang untuk menghentam orang dan menjadikan perbuatan itu sebagai aktiviti pada masa lapang. Jadi, saya reda sahajalah. Nak cakap banyak pun tidak guna,” ujar Zulin selamba.
Dalam perkembangan lain, ketika ini pelakon dan pengacara itu sedang sibuk mempromosikan filem Bopeng yang sudah ditayangkan 22 Disember lalu.
Membawa watak sebagai Mira Edora Senrose, pelakon berusia 27 tahun itu bersyukur kerana dipilih sebagai heroin filem buat julung kalinya.
“Alhamdulillah, ini filem pertama saya sebagai heroin. Dalam filem ini, saya bawa watak wanita yang sengal dan menaruh minat pada watak Peng, lakonan Johan As’ari,” ujarnya mengenai filem yang turut dibintangi oleh Nabil Ahmad, Soffi Jikan, Wanna Ali, Fauzi Nawawi, Along Edzendy, Elli Suriati, Kilafairy dan Dira Abu Zahar itu.
Sumber: Kosmo
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW