Oleh:Nadia Mingguan Wanita
Dilema untuk bekerja? Ya, ramai wanita hari ini lebih memilih untuk berbisnes dari rumah demi menjaga anak-anak sendiri. Tetapi nak berdiri teguh dalam dunia bisnes kena ambil tahu rahsia dan petuanya. Bagi anda yang berminat untuk mulakan bisnes, anda boleh gali kejayaan seperti wanita ini.
Pastinya kegagalan dalam melayari perkahwinan pertama membuatkan Datin Amyera Zainal Abidin, 27 tahun, serik untuk berkahwin lagi. Namun siapa dirinya untuk menidakkan takdir. Keputusan yang diambil juga bukan satu perkara yang mudah. Selain diri sendiri, beliau juga memikirkan penerimaan keluarga dan anak tunggalnya, Aryyan Rizqin, 6 tahun.
Jujur sekali, beliau menerima Dato’ Shahrul Nasrun Dato Haji Kamarudin, 30 tahun, kerana anaknya. Layanan Dato’ Shahrul Nasrun yang tidak berbelah bahagi kepada anaknya membuatkan Datin Amyera jatuh hati. Malah hingga ke saat ini, diakui Arryan sangat rapat dan manja dengan suaminya.
“Saya memang seorang yang garang, jadi suami yang banyak manjakan anak. Sebab itu mereka boleh jadi rapat. Biar pun manja, tapi Aryyan tetap menghormati suami saya sebagai bapa. Mereka seolah-olah kawan baik bila bersama,” ceritanya satu persatu.
Bisnes Ni Kena Mula Dari Minat
Datin Amyera sangat obses dengan penjagaan kulit wajah dan kesihatan tubuh badan. Jadi, dia memilih untuk memulakan perniagaan berasaskan kecantikan. Sememangnya sejak di bangku sekolah lagi, memang minat berbisnes. Cuma di peringkat awal beliau agak terbatas untuk memulakan perniagaan kerana tiada modal.
Namun, tidak terhenti di situ sahaja, beliau tetap memajukan langkahnya untuk terus berniaga. Memulakan perniagaan dengan menjual produk kecantikan menerusi laman sosial, Instagram kepada rakan terdekat dan pusat perniagaannya hanyalah di rumah. Lama-kelamaan produk jenama Amyera Beauty mula dikenali ramai.
Di peringkat awalnya, dirinya mencuba sendiri produk tersebut di kulit wajahnya. Datin Amyera sebenarnya sangat teliti dalam penjagaan kulit wajah. Tetapi, disebabkan kulitnya berjerawat, beliau mula mencari alternatif baru untuk menyelesaikan masalah kulitnya.
Setelah mencuba dan melihat keberkesanannya, Amyera dapat merasakan produk ini dapat pergi jauh dan mampu membantu wanita yang mengalami masalah yang sama sepertinya. Menggunakan bahan-bahan organik dalam penghasilan produknya membuat pengguna tidak akan mengalami sebarang kesan buruk.
“Mula-mula, saya hanya ada modal RM300 sahaja untuk mulakan bisnes. Saya buat kecil-kecil dari rumah. Saya ambil bahan mentah sendiri, kemudian bungkus sendiri di rumah. Tiada kotak khas, saya hanya letakkan dalam uncang kerana nak jimat kos.
“Saya terkejut kerana tidak sangka perniagaan yang pada mulanya kecil-kecilan, melebihi apa yang saya jangkakan hari ini. Mungkin kerana produk ini tidak mengandungi bahan terlarang, ia menjadi pilihan ramai. Kulit tidak mengelupas sebaliknya lama-kelamaan menjadi lebih cerah dan licin. Semoga Amyera Beauty semakin mendapat perhatian ramai,” katanya mengimbau kenangan lalu.
Adat perniagaan, pasti ada pasang surutnya. Setelah produknya makin diyakini ramai dan mendapat permintaan di seluruh negara, timbul pula ujian pada dirinya. Produknya diklon oleh insan yang tidak bertanggungjawab. Dirinya sangat kecewa saat itu dan hampir rebah. Mujurlah ramai pelanggannya bijak membezakan produk asli dan tiruan.
Sebagai langkah promosi dan mengukuhkan jenama produknya, akhirnya Datin Amyera memanjangkan langkahnya dengan mengiklankan produknya di majalah dan televisyen. Sejak itu produknya makin kukuh. Selain produk kecantikan wajah, Amyera kita turut memperbanyakkan produknya termasuklah skincare, suplemen dan minuman kesihatan.
“Menjadi jutawan dalam usia 25 tahun hasil titik peluh sendiri merupakan pengalaman manis buat saya. Saya juga tidak sangka saya mampu berdiri hingga ke tahap ini. Mampu membeli kereta idaman dan rumah sendiri adalah kebanggaan buat saya,” jelasnya lagi.
Nampak sibuk dengan dunia bisnes tetapi wanita dari Kelantan ini mampu membahagikan masa untuk keluarga tersayang, apa rahsianya anda boleh ketahui cerita penuh dalam majalah Mingguan Wanita bilangan 1725 (9-15 Disember 2016) yang sudah ada di pasaran.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW